3 Disember 2024, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah dan Stage Production (STAGE.PRO) telah mementaskan teater Salina, sebuah adaptasi novel karya agung Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said.

Teater Salina telah dipentaskan di Auditorium, Kompleks JKKN Sabah, Kota Kinabalu, Sabah pada 29 November hingga 30 November 2024.

“Program Karya Agung ini merupakan inisiatif Belanjawan 2024 yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi mengangkat karya-karya yang telah diiktiraf pada peringkat negeri dan juga negara selain bertujuan menyemarakkan dan mengangkat karya seni, sastera, teater warisan, dan karya agung tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut JKKN, hasil kerjasama antara JKKN Sabah dengan STAGE.PRO merupakan satu usaha untuk terus menyemarakkan dan mengembangkan seni teater dalam kalangan generasi muda di Sabah.

Antara babak dalam pementasan teater Salina.

Katanya, Salina ialah karya yang mengangkat tema kemanusiaan, ketabahan dan pengorbanan dalam suasana pasca perang pada tahun 1940-an.

Tambahnya, kisah ini menyoroti kehidupan rakyat biasa yang berjuang demi kelangsungan hidup dalam situasi yang penuh ketidakpastian dan kesulitan.

“Sebagai satu daripada karya sastera terbaik A. Samad Said, Salina telah mengukir sejarah dalam dunia penulisan dan sastera Malaysia, dan kini dipentaskan dengan sentuhan produksi yang penuh berkesan,” katanya.

Pementasan teater ini diolah dan diarahkan oleh Shah Zainal yang membariskan 60 orang pelakon dan tenaga produksi tempatan yang berbakat dengan arahan seni yang penuh kreatif bagi memastikan naskhah hebat ini dapat dihidupkan di atas pentas.

Sementara itu, Pengarah JKKN Sabah yang juga merangkap Pengarah Artistik pementasan teater ini berkata, pementasan ini bukan sahaja bertujuan mengangkat karya agung ke platform teater, tetapi juga sebagai usaha memupuk minat terhadap karya Sasterawan Negara.

Salina merupakan antara karya terbaik SN A. Samad Said.

Tambah beliau, teater ini merupakan penghormatan kepada Sasterawan Negara A. Samad Said dan sumbangannya kepada dunia sastera.

“Kami mahu penonton tidak hanya menikmati persembahan ini tetapi juga menghargai nilai-nilai kemanusiaan yang terkandung dalam kisah Salina,” jelas beliau.

Beliau berkata, pementasan ini juga telah menarik perhatian pelbagai golongan masyarakat, termasuk pelajar, pencinta seni, dan penggemar karya sastera klasik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.