Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPetaling Jaya – Selepas 11 tahun tanpa album studio, penyanyi terkenal Hazama atau nama sebenarnya, Ahmad Azmi kembali mewarnai dunia muzik tanah air dengan album penuh, berjudul Pujangga.
Pujangga merupakan album kedua Hazama, yang menjadi cenderahati yang begitu bermakna selepas beliau memasarkan album sulung pada tahun 2013.
Album ini memuatkan 10 buah lagu yang telah digarap dengan penuh hati-hati, dan berkualiti tinggi demi memastikan penantian sedekad peminat berbaloi.
Menariknya, Hazama sendiri menerbitkan Pujangga menerusi kerjasama Hazamaworks Sdn. Bhd. dan Silent Kaiju Studio sebagai pengarah projek.
Mereka dibantu oleh Genervie Kam, iaitu isteri Hazama sendiri yang prolifik dan Zimi yang menggembleng tenaga, serta idea selaku Penolong Penerbit bagi menepati piawaian untuk dipasarkan.
Pembikinan album Pujangga merupakan projek bebas atas gabungan dana oleh Hazamaworks Sdn. Bhd. dan Silent Kaiju Studio. Keduanya juga berasa sangat bertuah mendapat perhatian dan bantuan dana dari MyCreative Venture Sdn. Bhd., yang disokong oleh Kementerian Komunikasi.
Mengenai judul album, Hazama, 40 tahun, memberitahu “pujangga” dipilih sebagai sebuah gambaran untuk keseluruhan isi album yang melodinya dirakamkan di Royale Chulan, Cherating.
“Pujangga bermaksud pengarang sajak, syair dan ahli fikir yang secara keseluruhannya bercerita tentang isi album ini. Karya-karya yang dihasilkan mempunyai cerita yang disampaikan lewat untaian lagu yang digarap kemas di sepanjang pembikinan album. Saya benar-benar mahu bercerita, bersyair atau berpujangga dengan semua karya saya,” jelas Hazama.
Bukan lagu tunggal, tetapi menerbitkan album penuh boleh dianggap sebagai keberanian bagi juara Akademi Fantasia musim kesembilan ini. Hal ini dikatakan sedemikian kerana pada masa sekarang banyak pemuzik memilih untuk muncul dengan lagu tunggal demi lagu tunggal.
“Ketika hampir semua pemuzik atau penyanyi di dunia tidak melahirkan album fizikal, apatah lagi mengandungi 10 buah lagu, saya memasarkan Pujangga kerana ia akan menjadi sejarah, dan sesuatu yang kekal relevan dalam kerjaya saya, tidak hanya sebagai penyanyi tetapi pemuzik dan penerbit album,” ujarnya.
Hazama juga boleh dianggap serius menghasilkan Pujangga kerana konsep album ini turut dirakamkan di Tokyo, Jepun.
Dengan pelaburan-pelaburan yang telah dikeluarkan untuk rakaman vokal, adunan dan mastering dilakukan di Kpro Studio, Cheras Perdana, Hazama tidak menunggu lama untuk membangkitkan keterujaan peminat menyambut Pujangga.
Pemilik segudang lagu popular yang telah dihasilkan sejak tahun 2006 ini telah mula dikongsikan menerusi perkongsian pendek di platform media sosial mengenai kemunculan Pujangga. Album ini dipasarkan oleh Sony Music Malaysia sejak 29 November lalu.
Jelas Hazama lagi, album yang lagu-lagunya dirakamkan di Studio Gua ini tidak akan “lari jauh” daripada identiti beliau. Antara lagu yang telah dikongsikan sedikit di laman sosial adalah Di Mimpiku, dan Semacam Pandora.
“Harapan saya agar jeda panjang antara Penglipurlara dengan Pujangga akan dapat mengubat kerinduan peminat terhadap karya saya bersama-sama pasukan yang terlibat,” tambah Hazama.