5 Disember 2024, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Budaya Sarapan di Malaysia: Pengalaman Menjamu Selera Masyarakat Pelbagai Etnik telah diiktiraf di bawah Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pengiktirafan berkenaan diumumkan pada sesi ke-19 Jawatankuasa antara Kerajaan untuk Pemeliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara (IGC ICH) yang berlangsung di Asuncion, Paraguay dari 2 Disember hingga 7 Disember 2024.

“Badan penilai memutuskan budaya sarapan di Malaysia telah memenuhi semua kriteria yang digariskan oleh Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003, UNESCO,” maklumnya dalam satu kenyataan hari ini.

MOTAC berkata, budaya sarapan di Malaysia mencerminkan kepelbagaian budaya, keharmonian, pelibatan dan penerimaan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia dan merupakan elemen warisan kebudayaan tidak ketara yang selari dengan kriteria UNESCO, sekali gus memberikan impak dalam hubungan sosial masyarakat serta mencerminkan kekuatan dalaman Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

Katanya, kejayaan pengiktirafan budaya ini akan menggalakkan lebih banyak usaha perlindungan warisan tidak ketara dapat dilakukan secara sinergi melibatkan banyak pihak berkepentingan termasuklah pihak kerajaan bersama-sama persatuan dan komuniti tempatan selain membuka peluang jaringan kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai bidang.

Tambahnya, pengiktirafan ini juga membuktikan komitmen MOTAC dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ketara, sejajar dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), iaitu memfokuskan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya.

“Pengiktirafan budaya sarapan di Malaysia sebagai warisan tidak ketara UNESCO ini merupakan hasil usaha dan kerjasama kolektif semua pihak yang terlibat khususnya warga MOTAC  termasuklah Jabatan Warisan Negara (JWN),” jelasnya.

Katanya, pihak lain yang terlibat bagi menjayakan pengiktirafan ini ialah Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO dan Kementerian Luar Negeri.

Menurut MOTAC, pengiktirafan ini juga sekali gus menunjukkan kredibiliti Malaysia di persada dunia sebagai calon yang selayaknya menduduki Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO bagi tahun 2025-2029.

Pencalonan berkenaan merupakan pencalonan pertama yang berkaitan dengan makanan dan gastronomi Malaysia.

Terdahulu, katanya, Malaysia telah mendapat pengiktirafan untuk Mak Yung (2005), Dondang Sayang (2018), Silat (2019), Upacara Ong Chun/Wangchuan/Wangkang yang merupakan pencalonan bersama-sama China (2020), Pantun, pencalonan bersama-sama Indonesia (2020), Songket (2021) dan Mek Mulung (2023).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.