Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menerima kunjungan seramai 44 orang pelajar daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Pagoh, baru-baru ini.
Nor Azanizan Anawar (Pengurus Pembangunan Perniagaan, Pejabat Pengarah Urusan ITBM) berkata – Pihak ITBM sangat mengalu-alukan pelajar universiti yang ingin melaksanakan Latihan Industri di ITBM kerana ITBM akan menjanjikan pelajar akan didedahkan secara terus dalam industri terjemahan.
Bukan itu sahaja bagi yang ingin melanjutkan kerjaya di ITBM juga sangat dialukan dan perlu melalui beberapa ujian. Pihak ITBM juga membawa pelajar UIAM kampus Pagoh melawati tempat kerja-kerja penyuntingan dan penterjemahan dilakukan untuk mendedahkan kepada pelajar bagaimana bidang ini berfungsi.
Menurut ketua rombongan pelajar Cik Nurin Zayani, lawatan ke ITBM ini bertujuan untuk membuka peluang baharu kepada pelajar dalam bidang kerjaya kerana UIAM Pagoh juga mempunyai bahasa asing seperti Jepun, Mandarin dan Perancis yang merupakan kelebihan kepada pelajar untuk melanjutkan kerjaya dalam bidang terjemahan.
Melalui pendedahan ini pelajar mampu membuat pelbagai pilihan kerjaya yang mereka minati seperti penterjemahan, penyiaran dan penyuntingan.
Selepas lawatan penuh inspirasi ke ITBM, rombongan pelajar meneruskan eksplorasi mereka ke Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM).
IAMM yang terkenal sebagai satu daripada muzium seni Islam terbesar di Asia Tenggara, mempamerkan lebih 7,000 artifak bersejarah termasuk manuskrip al-Quran, seni bina Islam, dan barangan seni halus dari pelbagai tamadun Islam di dunia.
Lawatan ini bertujuan untuk memperluaskan perspektif pelajar mengenai peranan kesenian dalam perkembangan tamadun Islam.
Pendedahan seperti ini membantu pelajar memahami bahawa seni Islam bukan sahaja melibatkan aspek estetik, tetapi juga sebagai manifestasi keilmuan, nilai spiritual, dan inovasi budaya.
Di samping itu, pelajar juga berpeluang menyaksikan replika masjid ikonik dunia seperti Masjid Sheikh Zayed di Emiriah Arab Bersatu dan Masjid Biru di Turki yang diabadikan dalam galeri seni bina muzium.
Program Jom Teroka 2.0 ini juga bertujuan untuk memperkaya pengalaman pelajar melalui pendedahan budaya, sejarah, dan seni yang berkait rapat dengan tamadun Islam.
Selain itu, lawatan ini juga telah membuktikan keberkesanannya sebagai platform untuk membuka minda pelajar dalam menjelajahi potensi kerjaya dan memperkayakan pengalaman mereka dalam pelbagai bidang ilmu.