Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertandingan Nyanyian Lagu Melayu Antarabangsa (PALMA) 2024 yang berlangsung malam semalam menyaksikan peserta dari Mauritius, iaitu Pynam Quinsley Ryan dinobatkan sebagai juara hasil nyanyian merdu lagu penyanyi terkenal Sheila Majid, berjudul Sinaran.
Beliau yang merupakan pelajar Universiti Sunway membawa pulang wang tunai berjumlah RM5000 berserta piala pusingan dan plak iringan.
Tempat kedua pula berjaya dirangkul oleh Gugulethu Chakamba yang berasal dari Zimbabwe.
Beliau yang menuntut di Universiti Antarabangsa Albukhary menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM3000 dengan nyanyian lagu daripada Farahdhiya, berjudul Bertakhta di Hati.
Dengan mendendangkan lagu Bunga-bunga Cinta nyanyian asal oleh Misha Omar, Yee Mon Oo dari Kolej Sanway yang berasal dari Myanmar berjaya memenangi hadiah tempat ketiga sekali gus merangkul wang tunai bernilai RM2000, piala pusingan dan plak iringan.
Hadiah disampaikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Yang Berusaha (YBrs) Dr. Hazami Jahari, manakala yang turut berada di pentas pada ketika itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), YBrs. Encik Rosnan Nordin; Pengurus Kewangan Universiti Asia Pasifik (APU) YBrs. Encik Mohd Helmi Norman; dan Penasihat, YBrs. Abdul Wahab Hamzah.
Bagi penerima hadiah persembahan terbaik dan lima orang lagi peserta, masing-masing berjaya memenangi hadiah saguhati daripada penganjur dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM1000 berserta plak iringan.
Sebagai info, PALMA pada kali ini merupakan anjuran kali kelapan sejak diadakan bermula pada tahun 2000.
Penganjuran PALMA 2024 diadakan secara bersama oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Badan Budaya DBP, APU dengan kerjasama DBP dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Antara objektif utama penganjuran ini termasuklah meningkatkan penguasaan dan penuturan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar asing, memastikan bahasa Melayu terus disebarluaskan kepada masyarakat pelbagai latar budaya dan bahasa, serta meneruskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca.
Juri yang mengadili pertandingan ini ialah Datuk Mokhzani Ismail merangkap ketua juri, kemudian diikuti oleh Datuk ND Lala (Datuk Amir Amzah Salleh) dan Ajai (Mohd Faizal Maas).
Hadirin yang hadir pada malam itu tidak kering gusi apabila pengacara yang tidak asing lagi, iaitu pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Zack Kirana bergandingan dengan bekas pengacara radio, iaitu Mohamad Hafizie Roslan atau dikenali sebagai Fizie.