8 Disember 2024, 17:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Filem Imaginur arahan Nik Amir Mustapha melakar sejarah dalam Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik, selain merangkul enam anugerah lain termasuklah Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Penyunting Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.

Filem terbitan Lumatic Films Sdn. Bhd. ini membuktikan keunggulan filem tempatan yang mampu memikat hati juri dan penonton dengan cerita yang unik, serta mengangkat gandingan tema cinta dan sains fiksyen.

Pengarah dan penulis skrip Imaginur, Nik Amir Mustapha.

Nik Amir, yang juga penulis skrip Imaginur, meluahkan rasa gembira dan terkejut atas penerimaan luar biasa filem ini.

“Jenis cerita seperti Imaginur bukanlah sesuatu yang mudah diterima atau dihadam oleh penonton.

“Namun begitu, jumlah tontonan yang memberangsangkan di panggung wayang telah meredakan kebimbangan saya,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan bahawa Imaginur tidak dibuat semata-mata untuk memenangi anugerah, sebaliknya filem tersebut lahir daripada kecintaannya terhadap topik sains fiksyen.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, kejayaan ini turut mendatangkan cabaran baharu untuk mengekalkan momentum dan kreativiti bagi menghasilkan filem seterusnya.

Persoalannya, kalau saya menghasilkan filem yang serupa dengan Imaginur, adakah filem itu akan membosankan penonton? Dan jika saya mencuba pendekatan yang berbeza, adakah filem itu mampu memberikan impak yang sama?

“Tekanan yang akan saya hadapi pada masa akan datang hadir bersama-sama anugerah yang diraih pada malam ini,” tambah beliau.

Penulis skrip, Redza Minhat pula berkongsi bahawa pengalaman bekerja dalam Imaginur telah mengubah persepsinya terhadap audiens tempatan.

“Sokongan penonton terhadap Imaginur sangat luar biasa. Filem ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk menghasilkan karya yang mampu menjentik minda,” ujar beliau.

Redza, yang telah hampir dua dekad berkecimpung dalam industri seni, turut menegaskan bahawa kejayaan Imaginur ialah hasil kerjasama erat antara semua pihak yang terlibat.

“Dalam proses lakaran cerita, kami menghadapi pelbagai aral dan cabaran, namun sejak awal kolaborasi dengan Nik Amir, kami bersatu tekad untuk menghasilkan sebuah karya yang bukan hanya bertaraf anugerah, tetapi juga mampu menarik banyak penonton,” jelas beliau.

Nik Amir Mustapha dan Redza Minhat ketika bertemu media.

Menurut beliau, kekuatan Imaginur terletak pada kecintaan semua individu yang terlibat terhadap seni perfileman.

“Mereka (yang terlibat dengan filem ini) datang (ke set filem) bukan sekadar untuk bekerja. Mereka datang untuk berkarya,” tegas beliau.

Festival yang bertemakan “EMAS – Evolusi Sinema Malaysia” ini berlangsung pada malam semalam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Sebagai penerima anugerah Filem Terbaik, Imaginur turut membawa pulang trofi bersama-sama insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.

Selain itu, kategori Dokumentari Terbaik dimenangi oleh Pekik, terbitan Stereo Pixels Sdn. Bhd., manakala The Missing Trophy terbitan Wayang Works Sdn. Bhd. diangkat sebagai Filem Pendek Terbaik.

Malam kemuncak FFM33 turut mengiktiraf tokoh seni tanah air dengan Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman diberikan kepada A. Galak dan Anugerah Khas Karyawan kepada Indera Che Muda Redzuan.

Kedua-dua penerima membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 berserta trofi sebagai penghargaan atas sumbangan mereka terhadap industri kreatif.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, YBrs. Encik Nik Kamaruzaman Nik Husin; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), YBhg. Dato’ Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.