Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAyer Keroh – Usaha kerajaan Negeri Melaka dalam memartabatkan kembali permainan tradisional rakyat dengan menganjurkan Pertandingan Dam Aji mendapat sambutan luar jangkaan daripada masyarakat pelbagai kaum.
Hal ini terbukti, apabila seramai 780 orang peserta dari seluruh negara termasuk Kedah, Perlis, Perak, Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan menyertai Pertandingan Dam Aji Piala YAB Ketua Menteri Melaka Terbuka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, semalam.
Sambutan hangat yang diterima daripada peserta berbilang kaum dan usia itu merupakan penyertaan terbesar pernah dianjurkan dan sekali gus mencatat sejarah melayakkan Kerajaan Negeri Melaka melalui Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Jabatan Ketua Menteri Melaka menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Pertandingan Dam Aji (Checkers) Terbesar di Malaysia.
Majlis penyerahan sijil pengiktirafan Largest Dam Aji (Checkers) Competition itu telah disampaikan oleh wakil MBOR The Malaysia Book Of Records kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada majlis penutup pertandingan.
Menerusi komen, cadangan, maklum balas, dan minat terhadap permainan dam aji yang semakin meningkat di Melaka, beliau berharap pertandingan itu akan dapat diteruskan dengan skala lebih besar pada tahun akan datang.
“Antara cadangan yang diterima termasuklah mengadakan pertandingan mengikut peringkat umur, kategori lelaki, wanita dan veteran”
“Kita akan meneliti semua pandangan itu dalam memastikan pertandingan ini semakin mendapat sambutan di masa hadapan,” katanya.
Bagi memartabatkan lagi permainan tradisional rakyat itu dalam kalangan penduduk negeri ini, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan memberikan papan dan buah Dam Aji di warung-warung setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perkara ini dapat memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri dalam menyemarakkan permainan tradisional, malah membantu para peniaga di setiap warung.
Terdahulu, dalam pertandingan yang dianjurkan telah menyaksikan Fairuz Nizam Ibrahim muncul sebagai johan edisi pertama.
Beliau telah membawa pulang hadiah utama sebuah kereta Perodua Axia bernilai lebih RM22,000 selepas menewaskan peserta dari Johor dalam aksi tiga set di perlawanan akhir.
Hadir sama menyaksikan pertandingan tersebut adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.