9 Disember 2024, 10:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gombak – 50 orang kanak-kanak telah menyertai program Riang Ria Warisan Budaya yang dianjurkan oleh IKRAM Junior Gombak pada 7 Disember lalu.

Program yang berlangsung di Dewan Serba Guna Batu 12 ini menampilkan persembahan silat sebagai satu daripada usaha memperkenalkan seni mempertahankan diri tradisional kaum Melayu kepada komuniti orang asli.

Seni silat tersebut dipersembahkan oleh Kelab Seni Silat Gayong Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dengan Encik. Fazrul Wahid Zahari bertindak sebagai penasihat.

Selain itu, demonstrasi menyumpit merupakan antara acara yang mendapat perhatian. Para peserta kelihatan teruja kerana berpeluang mencuba sendiri kemahiran tradisional ini.

Persembahan seni silat oleh ahli Kelab Seni Silat Gayong Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).

Menurut seorang daripada masyarakat orang asli, mereka biasanya menggunakan sumpit untuk memburu binatang seperti monyet dan tupai yang mengancam tanaman atau kediaman. Walaupun tradisi ini semakin jarang diamalkan, namun masih terdapat dalam kalangan orang asli yang menggunakan kemahiran tersebut untuk berburu.

Dalam program yang sama, pengunjung juga peluang untuk mempelajari teknik menghasilkan tempok, aksesori kepala tradisional yang dianyam. Setiap suku orang asli memiliki keunikan tersendiri dalam seni anyaman mereka.

Sementara itu, peserta kanak-kanak pula berpeluang bermain permainan tradisional seperti congkak, batu seremban dan ceper.

Demonstrasi menyumpit dalam program Riang Ria Warisan Budaya.

Program ini turut menyelitkan acara lawatan ke Muzium Orang Asli. Di muzium tersebut, peserta dapat melihat pelbagai peralatan tradisional yang digunakan oleh masyarakat orang asli selain maklumat tentang pelbagai suku kaum orang asli yang terdapat di Malaysia.

“Program seperti ini sangat baik diadakan kerana memberikan peluang kepada peserta untuk lebih mengenali dan memahami budaya serta tradisi masyarakat orang asli,” kata salah seorang peserta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.