Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penyanyi dan komposer Daqmie yang terkenal dengan lagu Tangis Sebatang Tamar dan Munajat, serta Dato’ Royce Saiyan bersama-sama kumpulannya Munshidat El Qassh, serta kumpulan muzik Assidiq antara artis yang akan menjayakan “Gema Selawat di Puncak Menara Kuala Lumpur & Menara Alor Setar” pada 31 Disember 2024 nanti.
Daqmie menyatakan rasa gembira dan bersyukur kerana terpilih menjayakan program anjuran NHMall Worldwide Empire, dengan kerjasama Anita Entertainment & Productions, dan AM Event Management ini.
“Berselawat di tempat yang tinggi memang baik, dan sangat istimewa. Malah, lebih tinggi sesuatu tempat itu adalah lebih baik lagi kerana lebih cepat sampai ke hadrat Allah SWT,” ujar beliau semasa sidang media program berkenaan di sebuah restoran makanan Arab dekat sini pada 9 Disember lalu.
Turut hadir adalah Dato’ Royce, dan kumpulan Assidiq. Royce yang sependapat dengan Daqmie, tidak sabar untuk memberikan persembahan terbaik dalam program berkenaan.
Mengenai lebih tinggi tempat berselawat adalah lebih baik, beliau dan Daqmie teruja jika pada suatu hari nanti berpeluang melakukannya di puncak Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Islam tidak melarang umatnya meraikan sambutan tahun baharu Masihi setiap tahun, asalkan dengan cara yang murni, sopan dan patuh syariah. Sambutan yang dilakukan hendaklah membawa diri dekat dengan Allah, dan bukan dalam kelekaan hingga dimurkai-Nya.
“Sambutan tahun baharu mengikut syariat Islam adalah yang sebaik-baiknya. Justeru, pihak saya menganjurkan “Gema Selawat di Puncak Menara Kuala Lumpur & Menara Alor Setar” bagi menyambut ketibaan tahun 2025 pada 31 Disember nanti,” ujar YBrs. Puan Nur Amira Abd Razak, Pengarah Urusan NHMall Worldwide Empire.
Sebagai penutup tirai tahun 2024, gema selawat tersebut, katanya, merupakan program seni yang berkonsepkan Islam dengan tujuan mengajak semua umat Islam tanpa mengira usia, sama-sama menyemarakkannya.
Tambah Puan Nur Amira, selain berselawat memuji kebesaran Allah, dan mengenang jasa Nabi Muhammad SAW, beberapa paparan dokumentari sirah perjuangan Baginda akan turut diselitkan.
“Gema Selawat di Puncak Menara Kuala Lumpur & Menara Alor Setar” sebagai penutup tirai tahun 2024 ini juga, katanya, merupakan landasan untuk membawa ummah mendekatkan diri kepada Allah dan Nabi Muhammad SAW.
Justeru, alunan lagu-lagu qasidah daripada Daqmie, Dato’ Royce dan Munshidat El Qassh, dan kumpulan Assidiq adalah relevan,” ujar Nur Amira yang mahu memastikan program berkenaan menepati landasan Islam melalui selawat ke atas Junjungan Mulia.
Turut menghadiri majlis sidang media tersebut ialah Puan Anita Yusop dari Anita Entertainment & Productions selaku pegawai promosi dan pemasaran; Ustaz Fitri Abd. Samad (Tugas-tugas Khas), Umie Lyna (Setiausaha), Siti (Penyelaras Media), dan Puan Saadiah Kamin (Koodinator).
Apa yang penting, tambah Nur Amira, program tersebut menyemai rasa kasih dan cinta buat Rasulullah, mengeratkan hubungan silaturahim sesama umat Islam, menerapkan tentang pentingnya keimanan dalam pembentukan sahsiah diri, dan menyemai budaya mengamalkan sunnah Baginda Nabi dalam kehidupan.
Beliau berharap “Gema Selawat di Puncak Menara Kuala Lumpur & Menara Alor Setar” akan memperoleh restu dan bantuan Allah, serta mendapat sambutan di luar jangkaan, lantas menjadi contoh yang baik untuk mudi, dan masyarakat amnya.
Mengenai artis lain yang akan turut ditampilkan, Nur Amira memberitahu penganjur telah menjemput beberapa nama. Walau bagaimanapun, buat masa ini belum ada kepastian.
“Cuma, yang pasti, Daqmie, Royce dan Assidiq tidak akan menghampakan hadirin,” jelas beliau sambil memberitahu sasaran jumlah hadirin adalah 200 orang di Menara Kuala Lumpur, dan jumlah serupa di Menara Alor Setar.
Untuk maklumat lanjut berkaitan program, pembelian meja, ruang iklan buku cenderahati serta tajaan, sila hubungi Puan Lyna 011 211 4192, Puan Saadiah 013 737 4322, Cik Zura 011 5742 5493, Cik Siti 018 353 6879, Ustaz Mad 012 579 5418, Encik Khaliq 014 233 3490, Encik Fitri 011 1313 3631, dan Puan Amira 019 387 5060, atau e-mel [email protected].