Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru institusi pendidikan seperti universiti, serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Arkib Negara Malaysia (ANM) serta Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bekerjasama dengan Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) dalam usaha mengetengahkan pertukaran budaya bersejarah dan kekayaan dunia Melayu.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika berkunjung ke MKIM di Kuala Lumpur pada malam tadi bersama-sama Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk menyempurnakan pelancaran pameran “Samudera Berbicara: Pembentukan Dunia Melayu-Islam” yang cukup istimewa dan unik kerana menelusuri perkembangan Islam di alam Melayu.
Ketika berucap, beliau berkata bahawa pameran ini melihat alam Melayu dalam bingkai Islam dari sisi pandang yang berbeza daripada kepelbagaian budaya dan seni bersandarkan kehebatan sejarah dan warisan yang menjadi kebanggaan rantau alam Melayu.
“Saya singgung pengalaman Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz membawa pulang manuskrip Aqa’id al-Nasafi pada tahun 1984 dari Eropah, suatu karya penting dalam akidah yang diterjemahkan pada abad ke-16.
“Manuskrip tersebut juga merupakan satu daripada penemuan penting oleh Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas mengupas tentangnya dalam bukunya, The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of the Aqa’id of Nasafi,” ujarnya.
Menurutnya, manuskrip seumpama ini dan sumbangan tokoh ulama seperti Syamsudin as-Sumatra’i, Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri memberikan gambaran tentang kehebatan rantau ini yang kaya dengan pengalaman intelektual dan debat dalam pelbagai disiplin ilmu.
Oleh itu, beliau merakamkan ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary dan MKIM atas inisiatif penganjuran pameran tersebut.
“Semoga usaha ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dalam usaha memahami mesej dan ibrah di sebalik artifak, manuskrip dan karya yang dipersembahkan dalam pameran ini,” jelas beliau.