Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tiga orang penggiat seni kreatif, iaitu Encik Misnin Mohd Ehsan, YBrs. Dr. Marlenny Deenerwan dan YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib telah menerima anugerah khas daripada Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Akademi Syair Melayu Nusantara.
Timbalan Presiden PROFIMA, Encik Misnin Mohd Ehsan dikurniakan Anugerah Khas Karyawan Virtuoso sebagai penghargaan terhadap sumbangannya sepanjang menjadi anak seni, khususnya dalam penerbitan rancangan televisyen, drama dan filem.
Beliau juga mempunyai pengalaman yang luas dalam persatuan perfileman dan terlibat sebagai pengurus produksi kepada lebih 30 buah filem cereka seperti Lagi-lagi Senario, Leftenan Adnan, Lang Buana, Takluk: Lahad Datu dan Gayong.
Di samping itu, Pensyarah Kanan Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya, YBrs. Dr. Marlenny Deenerwan merupakan penerima Anugerah Khas Cendekia Seni (Teater), yang aktif sebagai penulis, pelakon, pengarah dan penerbit teater sejak tahun 1999.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang persembahan teater di Universiti Monash, Australia, merupakan pengasas bersama-sama Kumpulan Bangsawan Opera Sri Bandaraya di bawah naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pengerusi Pertubuhan Mekar Budaya Kuala Lumpur.
Manakala Anugerah Khas Cendekia Seni (Filem) pula dianugerahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib bagi menghargai jasa dan kepimpinan beliau dalam usaha melaksanakan program yang dapat meningkatkan kualiti dan daya saing filem Malaysia pada peringkat antarabangsa.
Selain pemerkasaan warisan, budaya dan bahasa menerusi kandungan kreatif negara, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh beliau untuk memajukan industri perfileman tempatan, tatkala menyertai FINAS pada November 2023. Sumbangan beliau bukan sahaja memberikan impak kepada industri seni, tetapi juga kepada ekonomi negara.
Ketiga-tiga anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari, dan masing-masing membawa pulang sijil, cenderamata dan wang tunai RM1,000 dalam program Alegori Puisi: Masihkah Kau Meniup Seruling? yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pada Rabu lalu.
Program Alegori Puisi: Masihkah Kau Meniup Seruling? anjuran DBP dan PROFIMA dengan kerjasama Akademi Syair Melayu Nusantara ini turut diserikan dengan persembahan alegori puisi oleh Khalil Haji Salleh berdasarkan puisi-puisi Sasterawan Negara dan penyair tanah air.
Selain itu, program ini juga turut menampilkan persembahan puisi daripada Sasterawan Negara Ke-13, YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan; Pengetua Akademi Syair Melayu Nusantara, YBrs. Dr. Shafa’atussara Silahudin, Man Kayan dan selebriti tanah air, iaitu Mubarak Majid.
Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Presiden PROFIMA, YBrs. Encik Khalil Haji Salleh; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, YBrs. Puan Roziah Md Yunus; peguam tersohor negara, iaitu YBhg. Tan Sri Dr. Mohamed Shafee Mohamed Abdullah; Sasterawan-sasterawan Negara dan karyawan DBP.