15 Disember 2024, 00:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Muzium Kesenian Islam Malaysia membawakan Pameran Samudera Berbicara: Pembentukan Dunia Melayu-Islam untuk pengunjung meneroka dan merasai pengalaman baharu tentang transisi unsur motif dalam seni warisan alam Melayu yang jarang diketengahkan sebelum ini.

Pameran tersebut yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu akan berlangsung selama enam bulan di Galeri Khas dua, bermula pada 13 Disember 2024 hingga 15 Jun 2025 dan dibuka dari pukul 9.30 pagi hingga 6.00 petang.

Selain itu, pameran tersebut menampilkan lebih 130 bahan pameran yang terdiri daripada pelbagai artifak, manuskrip dan karya seni sebagai wadah pengisahan alam Melayu yang menjadi pusat perdagangan maritim dan pertukaran intelektual antarabangsa.

Antara bahan pameran yang menjadi tarikan para pengunjung termasuklah manuskrip terjemahan bahasa Melayu, kitab al-‘Aqa’id al-Nasafi karya Abu Hafs ‘Umar al-Nasafi, 1590 Masihi dari Aceh, yang merupakan koleksi Allahyarham Profesor Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

Manuskrip kitab al-‘Aqa’id al-Nasafi yang mempunyai terjemahan dalam bahasa Melayu dan dianggap sebagai terjemahan tertua dalam tulisan Jawi.

Malah, seni pertukangan seperti gerobok (Jawa), gebyok (Jawa) dan panel pembahagi ruang ibadah (Sumatera), turut menjadi perhatian para pengunjung yang ingin melihat hasil kerja kayu menggunakan teknik pasak dan tanggam, serta motif corak kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran. Di samping itu, turut dipamerkan seni tekstil dan seramik yang menjadi pilihan masyarakat pada zaman tersebut.

Seni pertukangan gerobok yang teliti, dihasilkan dari Jawa pada abad ke-19 dan mempunyai roda untuk memudahkan pergerakkannya serta dihiasi dengan kaligrafi ayat suci al-Quran.

Perkembangan tulisan Jawi secara meluas selepas kedatangan Islam di alam Melayu turut diserlahkan dengan pameran penulisan manuskrip dalam bentuk kitab, surat dan catatan puisi pada abad ke-19 dan ke-20, seperti Surat Bahasa Melayu (Patani), Carita Yusuf (Jawa), Hikayat Hang Tuah, Dala’il al-Khairat dan Kitab al-Mizan al-Sya’raniya.

Manuskrip Surat Bahasa Melayu dari Patani (kiri bawah) dan manuskrip Carita Yusuf (atas) dari Jawa, yang digunakan oleh para pelajar di sekolah agama tradisional, manakala manuskrip Kitab Kisah Luqman al-Hakim (bawah kanan) yang mengandungi Aksara Lontaraq dan bahasa Arab.

Pameran tersebut juga memberikan peluang kepada para pengunjung untuk melihat kesan kolonisasi Eropah terhadap dunia Melayu yang telah mengubah landskap maritim, serta pertukaran ilmu pengetahuan dan teknologi persenjataan dengan masyarakat tempatan.

Manuskrip yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan di alam Melayu diterbitkan oleh pihak kolonial untuk dijadikan sebagai bahan pengajaran di Belanda sebagai persediaan kepada mereka yang mahu berkhidmat di bawah Syarikat Hindia Timur Belanda.

Bersempena dengan pameran tersebut juga, Muzium Kesenian Islam Malaysia telah menerbitkan buku katalog yang berjudul Oceans That Speak: Islam and The Emergence of The Malay World setebal 420 muka surat, yang boleh didapati di kedai muzium berkenaan, atau membuat pesanan secara dalam talian melalui laman web shop.iamm.org.my dengan potongan diskaun sebanyak 20 peratus.

Buku katalog Oceans That Speak: Islam and The Emergence of The Malay World yang dijual kepada orang ramai bersempena dengan Pameran Samudera Berbicara: Pembentukan Dunia Melayu-Islam.

Sepanjang pameran ini berlangsung, turut diadakan pelbagai program dan aktiviti pembelajaran yang akan dilaksanakan bersempena dengan cuti persekolahan yang akan datang. Antara aktiviti tersebut termasuklah bengkel yang berkaitan dengan seni kebudayaan di alam Melayu seperti telepuk (10 Januari 2025), kompang (25 Januari 2025), seni ukiran kayu (8 Februari 2025), tulisan jawi (17 April 2025), sulaman tekat (26 April 2025) dan wayang kulit (10 Mei hingga 11 Mei 2025), manakala sesi perkongsian pakar tentang ilmu falak pula akan diadakan pada 3 Mei 2025 dan pameran kapal tradisional Melayu diadakan pada 8 Mei 2025.

Istinggar (kiri) dan paseki (kanan) merupakan hadiah daripada syarikat-syarikat Eropah yang diberikan kepada pemerintah tempatan di rantau Nusantara sebagai tukaran bekalan rempah-ratus yang turut mempengaruhi teknologi pembuatan senjata tempatan pada zaman tersebut.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.