Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Slogan membudayakan membaca dan mendekatkan komuniti adalah bertepatan dengan tema program ini yang menggalakkan pengunjung membaca secara bebas dan santai, berikut ucapan yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari sewaktu merasmikan program Kelah Buku, di Taman Botani Putrajaya semalam.
Dalam majlis perasmian tersebut, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyatakan bahawa program Kelah Buku ini mempromosikan budaya membaca dan celik huruf dalam kalangan masyarakat untuk membina jaringan yang erat dalam komuniti.
Menurut beliau,
Inisiatif yang diketengahkan melalui slogan membudayakan membaca dan mendekatkan komuniti ini adalah selaras dengan semangat kecintaan pencinta buku untuk membaca buku secara santai di ruang legar Taman Botani ini, sekali gus mencetuskan daya tarikan baharu kepada golongan muda dan keluarga melalui aktiviti yang interaktif ini.
Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa DBP yang merupakan agensi penting dalam membina dan mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan, akan sentiasa berusaha untuk melaksanakan pelbagai program kebahasaan dengan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta.
Pada masa yang sama, YBrs. Dr. Hazami Jahari turut meluangkan masa menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna bagi kategori prasekolah, sekolah rendah dan kanak-kanak istimewa.
Pertandingan mewarna bagi kategori prasekolah dimenangi oleh tiga orang pemenang, bagi kategori sekolah rendah pula dimenangi oleh 13 orang pemenang, manakala bagi kategori kanak-kanak istimewa pula dimenangi oleh lima orang pemenang, iaitu Nur Aqeela Amani, Nur Batrisya Mohd Afizam, Adam Raikal, Ian Aruna Mohd Firdaus dan Syed Ahmad Ariq Khan Syed Najib.