Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Program Kelah Buku Putrajaya yang berlangsung di Taman Botani pada 14 Disember 2024, disambut meriah oleh pengunjung yang hadir untuk mengisi masa lapang sambil membaca buku secara santai.
Program komuniti Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Persatuan BookTube Malaysia (BooktuberMy) dengan kerjasama Perbadanan Kota Buku (PKB) diadakan dari pukul 7.00 pagi hingga 7.00 malam dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik.
Antara aktiviti yang diadakan termasuklah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan fotografi, persembahan puisi dan persembahan akustik, yang berjaya menarik minat pengunjung untuk membaca buku dan mengikuti aktiviti riadah yang disediakan secara santai.
Pada masa yang sama, Presiden Persatuan Booktube Malaysia, Encik Hafiz Latiff turut meluangkan masa dengan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan fotografi. Johan bagi pertandingan fotografi dimenangi oleh Muhammad Hadif Iqbal Zulmier dan naib johan dimenangi oleh Faheem Dizhwar Mohamad Mulfazir.
Program ini dimeriahkan lagi dengan persembahan deklamasi puisi yang disampaikan oleh karyawan terkenal seperti Airul Affendi Ali, Hapam John, Adeqq Farhana, Wan Shafiqah dan Cura Lara. Manakala persembahan akustik pula dipersembahkan oleh Rudy, ArRasyideen dan Azreena Zulaikha.
Turut hadir dalam program Kelah Buku ini ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Sumber Teknologi Kementerian Pendidikan Malaysia, Puan Hajah Abdul Wahab; Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Encik Mohd Khair Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Puan Adibah Omar; Pengarah Perbadanan Putrajaya, Encik Mohd Tajuddin Idris; Presiden Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Ivan Hoe Wat Sing; Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Sheikh Faisal Sheikh Mansor; Pengerusi Pemasaran, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia, Tuan Haji Azman Hashim; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed dan beberapa rakan strategik yang lain.