Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menteri Pendidikan, Yang Berhomat (YB) Fadhlina Sidek menyifatkan pementasan Teater Muzikal PERMATA Seni 2024 yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah menyerlahkan bakat anak-anak dari pelbagai kaum dan agama, bukan sahaja untuk meraikan kemakmuran hidup bersama-sama malah turut melaungkan seruan untuk keamanan dunia antarabangsa.
“Kanak-kanak bukan hanya mahu bakat mereka dilihat oleh dunia, malah lebih daripada itu memanfaatkan bakat seadanya untuk memperlihatkan kepada dunia penindasan yang sedang berlaku di Palestin.
Pementasan Teater Muzikal PERMATA Seni “Mensyukuri Nikmat Kedamaian” di Auditorium Perdana, Angkasapuri berlangsung selama dua hari bermula Sabtu lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur.
Teater Muzikal PERMATA Seni menggabungkan 168 peserta daripada tiga komponen, iaitu PERMATA Seni Koir (PSK), PERMATA Seni Tari (PST) dan PERMATA Seni Muzik (PSM).
Persembahan luar biasa Teater Muzikal Permata Seni 2024 membuatkan YB Fadlina berasa teruja ketika menyaksikannya.
“Lebih terharu buat saya, pentas ini membariskan bukan sahaja generasi kanak-kanak dan remaja, tetapi juga jurulatih yang tidak pernah luntur sinarannya seperti Datuk Syafinaz, Datuk Mus, Cikgu Fee dan Cikgu Akmal.
“Malah kepelbagaian kekal menjadi keistimewaan tanah air kita, apabila hampir semua audiens terikut-ikut untuk menyanyikan lagu “Pang Yau” (Sahabat) bersama-sama.
“Melihat wajah anak-anak kita yang yakin diri, berani mengekspresikan gelora jiwanya dengan suara dan gerak tubuh, saya seolah-olah disegarkan semula setelah keletihan dalam kesibukan program seharian. Seni tidak pernah mati,” ujar beliau dalam Facebooknya.
Turut hadir memeriahkan pementasan teater tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Ruji Ubi; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Wira Roslan Tan Sri Abd. Rahman dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot.
Program PERMATA Seni merupakan program khas di bawah tadbir urus Kementerian Pendidikan yang dilaksanakan oleh JKKN dan Istana Budaya.
Kewujudan program PERMATA yang merangkumi tiga komponen, iaitu koir, tari dan muzik bertujuan melahirkan modal insan seni budaya yang akan menjadi pewaris kepada legasi seni negara.
Program ini menyasarkan kanak-kanak berusia antara tujuh tahun hingga 12 tahun untuk seni tari dan seni koir, serta tujuh tahun hingga 14 tahun untuk seni muzik.
Mereka yang terpilih akan diberikan latihan intensif dan pendedahan yang membolehkan mereka mengasah bakat, memperkembangkan kebolehan ke tahap yang lebih tinggi dalam dunia seni.