17 Disember 2024, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Gabungan lukisan dan puisi oleh Sasterawan Negara (SN) akan dipamerkan dalam Malam Manifestasi Tiga Seni di Balai Budaya Tun Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mulai esok.

Puisi-puisi SN seperti “Bunga Popi”, “Jiwa Hamba”, “Sebuah Unggun di Tepi Danau”, “Getaran” dan lain-lain akan dilukis oleh barisan pelukis terkemuka Malaysia.

Antara pelukis yang menyertai pameran tersebut termasuklah Suzlee Ibrahim, Bayu Utomo Rajikin, Hamir Soib, Ahmad Fuad, Masnor Ramli, Aizat dan Liu Cheng Hua.

Sebagai contoh, puisi “Getaran” milik SN Dato’ Anwar Ridhwan, juga merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP akan dilukiskan oleh Suzlee Ibrahim.

Pelukis Suzlee Ibrahim merupakan dekan di Fakulti Seni Halus, ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) telah menghasilkan karya secara serius sejak 37 tahun lalu.

Sebelum ini, beliau telah mengadakan 48 pameran solo dan dipamerkan di lebih 40 negara seperti Amerika Syarikat, China, Denmark, Perancis, Jepun, Taiwan, Tunisia dan Turkiye.

Selain pameran lukisan, turut diadakan deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Dato’ Rahman Shaari. Mereka berdua akan membacakan puisi-puisi “Masihkah Kau Bermain Seruling” dan “Dalam Kesopanan Kita”.

Malah, penyanyi terkenal seperti Ramli Sarip, Asmidar dan Azizul Haqim turut mengambil bahagian menjayakan program ini.

Mereka akan mendendangkan seleksi lagu-lagu yang akan menggamit memori dan membuatkan penonton terbuai dengan keasyikan suara para penyanyi.

Terdahulu, Malam Manifestasi Tiga Seni diadakan untuk menggalakkan penghargaan tinggi terhadap perkaitan antara disiplin seni dan keupayaan kolektif para seniman.

Program ini dapat menyediakan platform kepada seniman muda dan mapan untuk berkolaborasi dan mempamerkan bakat terpendam.

Orang ramai dijemput memeriahkan Malam Manifestasi Tiga Seni yang akan bermula pada pukul 8.00 malam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.