Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kehadiran Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama-sama ahli keluarga memeriahkan program Malam Manifestasi Tiga Seni di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP mengundang perhatian khalayak pada malam semalam.
Program tersebut telah disempurnakan dengan ucapan sambutan daripada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan.
Dalam ucapan sambutannya, beliau memerihalkan kembali latar belakang kemunculan program tersebut pada awalnya bahawa para sasterawan dan seniman yang harus mengorak langkah untuk memberi contoh, menjalin kesatuan dan perpaduan dalam kerangka integrasi nasional yang lebih luas selepas tragedi 13 Mei 1969.
Menurut beliau, pelukis, deklamator dan penyair dipertemukan dalam acara Manifestasi Tiga Seni yang bermula pada awal tahun 1970-an yang akhirnya dijelmakan kembali pada malam tersebut.
Seni dan budaya memainkan peranan unik dalam memperkukuh hubungan antara pelbagai kumpulan etnik dan membentuk asas bagi identiti nasional.
“Persembahan seni seperti deklamasi puisi, muzik atau pameran seni kontemporari memberi ruang kepada semua kumpulan masyarakat untuk mengekspresikan diri mereka,” katanya.
“Umum mengetahui, sejak dari zaman awal penubuhannya, DBP sentiasa menjadi pilihan utama untuk para seniman dan budayawan berkumpul dan mempersembahkan bakat masing-masing kepada khalayak,” ujarnya.
“Berbagai acara seni dan budaya telah diadakan di balai keramat ini dan sehingga kini DBP masih lagi menjadi pilihan untuk acara ilmu, seni dan budaya yang secara tidak langsung dapat memperkembang bahasa dan persuratan Melayu kepada masyarakat,” tambahnya lagi.
Pada masa yang sama, beliau turut mendeklamasikan sajak yang bertajuk “Air yang Kuminum” di hadapan para hadirin dan telah diterjemahkan dalam bentuk ekspresi abstrak menerusi seni lukisan hasil sentuhan secara langsung oleh Dekan Fakulti Seni Halus, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), YBrs. Profesor Madya Suzlee Ibrahim.
Sementara itu, program Manifestasi Malam Tiga Seni merupakan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Mik & Bell Production Sdn. Bhd. dan Edaran Berhad telah berlangsung dengan meriah.
Program tersebut buat julung-julung kalinya berkonsepkan penyatuan seni dan sastera menerusi tiga acara utama, iaitu pameran lukisan daripada tujuh seniman visual negara, deklamasi puisi oleh tokoh-tokoh sasterawan dan nyanyian lagu daripada artis terkenal tanah air.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan; Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Berhad, YBhg. Dato’ Bistamam Ramli; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Pengarah Urusan Syarikat Mik & Bell Production Sdn. Bhd., YBrs. Encik Ayub Ibrahim dan Pengarah Eksekutif Edaran Berhad, YBrs. Encik Fazlan Azri Tajudin.