Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuantan – Program “Nostalgia Kompleks Teruntum” telah disempurnakan oleh Exco Perpaduan, Pelancongan & Kebudayaan Negeri Pahang, Yang Berhomat Puan Leong Yu Man, semalam.
Program anjuran Badan Pengurusan Bersama Kompleks Teruntum (BPKT) dan KomTer Studio diadakan sebagai usaha untuk mengembalikan dan mengimbau zaman kegemilangan Kompleks Teruntum.
Dalam ucapan perasmian, YB Leong Yu Man menyatakan bahawa Kompleks Teruntum yang dibina sekitar tahun 1979 dengan ketinggian 87 meter dan mempunyai 22 tingkat merupakan sebuah bangunan ikonik pertama dan tertinggi di negeri Pahang pada ketika itu.
Bangunan ini bukan sekadar sebuah kompleks beli-belah, malah menempatkan pejabat agensi-agensi kerajaan.
Kegemilangan Kompleks Teruntum pada sekitar tahun 80-an hingga 90-an disebabkan kompleks tersebut menjadi tumpuan penduduk untuk membeli-belah dan berhibur pada hujung minggu bersama-sama ahli keluarga.
Beraneka kedai menjadi pilihan penduduk setempat untuk berbelanja dan mencipta memori manis di sini.
Biarpun kini terdapat pelbagai kompleks beli-belah baharu yang dibina, Kompleks Teruntum terus gah dan menjadi “penyambut tetamu” kepada semua pengunjung yang melancong ke negeri ini.
Apatah lagi kedudukannya yang strategik, berhampiran dengan sungai Kuantan serta dapat dilihat dengan jelas sebaik sahaja pengunjung memasuki daerah Kuantan.
Program berkenaan diadakan sepanjang empat hari bermula 19 Disember 2024 hingga 22 Disember 2024 dan menempatkan lebih 30 vendor jualan makanan, pakaian dan produk kraf.
Pelbagai aktiviti menarik seperti peragaan pakaian bertema, pameran kenderaan klasik, pertandingan karom dan pertandingan fotografi diadakan sepanjang program tersebut.
Turut hadir ialah Pengerusi BPKT, Encik Mohd Razif bin Abdul Malek dan tetamu-tetamu jemputan.