Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching merupakan ibu kota negeri Sarawak. Oleh itu, di Kuching banyak terdapat bangunan bersejarah dan mercu tanda yang pelbagai. Jika kita melebarkan skop pencarian dan tinjauan pula, kita pasti mendapati bahawa di sekitar bandar raya tersebut, banyak terdapat kawasan pelancongan yang indah lagi menarik. Antara tempat peranginan yang patut kita kunjungi termasuklah Kampung Budaya Sarawak, Muzium Budaya Borneo, Rumah Panjang Annah Rais, Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Semenggoh, Taman Negara Bako, Taman Negara Gunung Gading, Taman Negara Laut Talang Satang, Taman Buaya Jong dan sebagainya.
Kampung Budaya Sarawak merupakan muzium hidup yang menempatkan rumah kediaman dan penghuni tujuh kaum atau suku kaum di Sarawak, iaitu Melayu, Cina, Melanau, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Penan. Satu kelebihan dan keajaiban Sarawak ialah negeri tersebut mempunyai 27 suku kaum. Di kampung budaya ini, kita dapat memerhatikan seni bina rumah tradisional yang pelbagai, lengkap dengan pelbagai kraf tangan dan peralatan hidup seharian. Bentuk dan ciri setiap rumah tradisional berkaitan dengan pertimbangan tentang pertahanan dan keselamatan, bentuk muka bumi, cuaca, bahan di persekitaran, aktiviti ekonomi, cara hidup dan budaya setiap komuniti. Kita dapat menyaksikan dan mempelajari tarian tradisional daripada penari profesional, menyumpit dengan sumpitan, dan cara membuat kraf tangan tertentu. Oleh itu, kunjungan ke balai budaya ini memberikan gambaran sepintas lalu tentang kehidupan penduduk yang menetap di seluruh pelosok negeri Sarawak.
Muzium Budaya Borneo (Borneo Cultures Museum) pula merupakan bangunan muzium baharu yang setinggi lima tingkat dengan seni bina unik yang menggambarkan ciri budaya tempatan. Di dalamnya terdapat pameran artifak sejarah sejak Zaman Batu dan zaman pemerintahan Brooke, hasil kaji purba, peralatan dan perhiasan perkahwinan rakyat berbilang kaum, kesenian dan kraf tangan, legenda setempat, keajaiban alam sungai dan sebagainya. Ada juga galeri khusus untuk kanak-kanak. Pada zaman dahulu, sesetengah hasil kerja tangan manusia itu dikatakan mempunyai kuasa magis atau menggambarkan status sosial pemiliknya. Lawatan yang mengasyikkan ini bersifat interaktif dan melibatkan pelbagai deria (multisensory experience). Kunjungan ke muzium ini membolehkan kita memahami rentetan sejarah dan latar budaya yang membentuk identiti dan jati diri penduduk Sarawak.
Rumah Panjang Annah Rais terletak di daerah Padawan, iaitu kira-kira 60 kilometer dari Bandaraya Kuching. Itulah satu daripada rumah panjang suku kaum Bidayuh yang tertua dan terpelihara secara rapi di Sarawak. Bidayuh merupakan suku kaum etnik peribumi yang kedua terbesar di Sarawak. Di sana terdapat kemudahan inap desa untuk membolehkan para pengunjung merasai kehidupan penghuni rumah panjang dari segi rutin seharian hidup, aktiviti pertanian, permainan muzik dan tarian, kraf tangan, pakaian tradisional dan menikmati makanan tradisional seperti ayam pansuh. Seseorang dapat juga bermandi-manda di air mata panas yang berdekatan atau merentas denai hutan bersama pemandu setempat.
Bagi pencinta alam sekitar dan flora serta faunanya, di sekitar Kuching kita ada Pusat pemuliharaan Hidupan Liar Semenggoh, Taman Negara Bako, Taman Negara Gunung Gading, Taman Negara Laut Talang Satang dan Taman Buaya Jong. Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Semenggoh yang letaknya 20 kilometer dari Bandaraya Kuching diwartakan pada tahun 1975 untuk menjaga haiwan liar yang pernah dijadikan haiwan kesayangan terlarang, dan haiwan liar yang terabai atau tercedera. Orang hutan dipelihara di taman ini sampai haiwan tersebut sudah bersedia untuk dilepaskan ke hutan semula. Kawasan yang seluas 653 hektar ini menempatkan lebih daripada 20 ekor orang hutan, dan orang hutan itu sudah biasa berinteraksi dengan pengunjung taman. Seseorang dapat menyaksikan waktu memberikan makan kepada orang hutan pada jam 9 pagi dan jam 3 petang pada setiap hari.
Taman Negara Bako yang diwartakan pada tahun 1957 dan seluas 27.27 kilometer persegi terletak kira-kira 37 kilometer dari Bandaraya Kuching. Hakisan ombak selama berjuta-juta tahun pada batu pasir di sana menghasilkan berbagai-bagai batu tunggal, gerbang batu, tebing curam, tanjung berbatu-batu dan teluk berpasir. Di sana terdapat 16 denai hutan untuk direntas pengunjung bagi melihat kera Belanda (proboscis monkey), monyet, babi hutan, pelanduk, tupai, ular, biawak, burung, memerang dan hidupan liar yang lain. Selain itu, di taman negara tersebut terdapat hampir semua jenis spesies tumbuhan di pulau Borneo.
Taman Negara Gunung Gading terletak di kawasan hutan hujan bergunung-ganang berdekatan dengan pekan Lundu, kira-kira 120 kilometer dari Bandaraya Kuching. Taman itu seluas 4,196 hektar dan diwartakan pada tahun 1983. Tarikan utama di taman ini ialah bunga pakma (Rafflesia), iaitu bunga terbesar di dunia. Tumbuhan parasit ini mengambil masa 18 bulan untuk menakluki pokok tumpangannya dan masa 9 bulan lagi untuk menjadi bunga besar berbentuk kubis yang kembang selama empat atau lima hari sahaja. Bunga ini mengeluarkan bau bangkai reput yang kuat untuk memikat kunjungan lalat dan serangga lain. Bunga itu dapat membesar hingga mempunyai garis pusat satu meter. Terdapat kira-kira 23 lokasi bunga pakma yang sudah ditandai oleh pihak taman negara bagi memudahkan para pelawat melihatnya. Selain bunga pakma, terdapat juga tarikan lain seperti periuk kera, air terjun, bukit bukau dan pelbagai flora dan fauna yang lain. Seseorang boleh juga mendaki Gunung Gading yang setinggi 906 meter. Berdekatan dengan taman negara ini juga ada Pantai Pandan dan Pantai Siar yang memukau hati para pengunjung.
Taman Negara Laut Talang Satang yang meliputi empat buah pulau merupakan pusat pemuliharaan penyu hijau dan penyu sisik (hawksbill turtle) yang terancam kewujudannya. Taman negara laut ini seluas 19,414 hektar dan diwartakan pada tahun 1999. Empat buah pulau tersebut ialah Pulau Talang-talang Besar, Pulau Talang-talang Kecil, Pulau Satang Besar dan Pulau Satang Kecil. Terdapat terumbu karang di laut cetek di sekitar pulau-pulau tersebut dan itulah tempat penyu-penyu mencari makanan dan berteduh sebelum haiwan tersebut mendarat untuk bertelur. Penyu mendarat untuk bertelur sepanjang tahun, tetapi musim kemuncaknya adalah dari bulan April hingga Oktober. Sembilan peratus daripada penyu yang mendarat untuk bertelur ialah penyu hijau. Telur penyu dijaga sampai menetas dan anak penyu kemudiannya dilepaskan ke laut. Para sukarelawan boleh terlibat dalam Program Pemuliharaan Penyu selama tiga hari dua malam di taman itu dari bulan Mei hingga bulan September, atau membuat kunjungan singkat pada waktu siang sahaja. Walau bagaimanapun, kelulusan daripada Jabatan Perhutanan harus diperoleh terlebih dahulu.
Taman Buaya Jong terletak 29 kilometer dari Bandaraya Kuching. Taman buaya tersebut merupakan taman buaya yang pertama dan terbesar di Malaysia. Taman tersebut pada mula-mulanya diusahakan oleh Encik Yong Kian Sen yang mengumpulkan buaya sejak tahun 1963, sebelum membuka taman itu pada tahun 1979. Di situ ada juga Muzium Buaya, dan para pengunjung dapat melihat tengkorak buaya Bujang Senang yang pernah menghantui penduduk di sepanjang Sungai Batang Lupar, Sarawak. Itulah buaya terbesar yang pernah ditangkap di negeri Sarawak. Di taman itu, pengunjung juga berpeluang melihat ratusan spesies hidupan liar, termasuk burung yang jarang-jarang dapat dilihat orang di Pulau Borneo, dan ikan arapaima yang panjangnya melebihi 10 kaki dan beratnya melebihi 180 kilogram.
Ternyatalah bahawa kunjungan ke Bandaraya Kuching dan tarikan di sekitarnya pasti menjanjikan 1001 kenangan manis yang sukar dilupakan oleh seseorang pengkaji sejarah, peminat budaya dan pelancong alam semula jadi yang tidak sabar-sabar untuk menyingkap rahsia keajaibannya.