25 Disember 2024, 09:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Peminat dan pengikut bidang animasi negara pasti mengetahui Hikayat Sang Kancil, Usop Sontorian, Keluang Man, Kampung Boy, dan Didi & Friends.

Setiap siri animasi yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah animasi negara dan menemani pelbagai generasi ini mempunyai pengaruh besar dalam membentuk industri kartun tempatan, sekali gus mencipta kenangan abadi para peminatnya.

Untuk mengimbau kembali kenangan itu, Persatuan Animasi Malaysia (Animas) dengan sokongan Jabatan Muzium Malaysia, mengadakan pameran Animasi Malaysia: Dari Idea ke Realiti di Muzium Negara yang berlangsung dari 21 November 2024 hingga 31 Januari 2025.

Menurut Timbalan Presiden Animas, Khairur Rizal Jalani pameran berkonsepkan “edutainment” ini mengetengahkan perjalanan industri animasi Malaysia, bermula dari idea kreatif sehingga menjadi visual, menyelitkan seni dan budaya tempatan, serta berkembang bersama-sama dengan teknologi.

“Pameran ini mengumpulkan pelbagai bahan berkaitan industri animasi dengan kerjasama pelbagai studio animasi tempatan”

“Kami mempamerkan hasil kerja mereka, termasuk projek animasi, watak, dan cerita yang dihasilkan di negara ini,” katanya.

Pameran Animasi Malaysia: Dari Idea ke Realiti, tambahnya, turut memberi ruang kepada pelajar, profesional dan peminat animasi untuk mempelajari dengan lebih lanjut penghasilan animasi dan penggunaan teknologi terkini.

“Program ini juga memberi inspirasi kepada mereka untuk menyertai bidang tersebut, dan seterusnya berkembang dalam industri, selain memaparkan perjalanan penuh inspirasi individu yang menjadi tonggak industri,” jelas Khairur.

Antara koleksi yang dipamerkan termasuklah karya peribadi kartunis tersohor tanah air Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid (Lat), Mohamed Khairi Ibrahim (Aie Ibrahim), serta pelbagai maskot animasi.

“Kisah kejayaan individu seperti Kamarudin Ismail (Kamn Ismail), Ibrahim Anon (Ujang), dan Datuk Othman Yusof (Datuk MOY) membuktikan bahawa dengan usaha berterusan, tidak mustahil untuk merealisasikan sesuatu idea, dan mencipta perubahan besar dalam industri,” katanya.

Melalui pameran ini juga, Animas mahu mempromosikan semula penerapan elemen tradisional seperti motif rekaan dan budaya dalam seni digital animasi pada masa akan datang.

“Kami berharap pameran ini dapat meningkatkan kesedaran tentang industri animasi tempatan, serta memberi inspirasi kepada bakat-bakat muda menceburi bidang animasi, sekali gus mencorakkan identiti bangsa Malaysia yang pelbagai budaya,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.