Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Universiti Malaya (UM) telah lama memberi perhatian dalam memelihara dan mengembangkan seni khat di Malaysia. Hal tersebut dibuktikan menerusi penganjuran pelbagai pameran yang berkaitan, bermula dengan Pameran Seni Khat pada tahun 1975.
Keprihatinan itu diteruskan dengan penganjuran Pameran Seni Khat (1978), Pertandingan Seni Khat (1981), Pameran Seni Khat Kalamullah (1995), Munajat Di Tinta Khat (2010), dan Verses Of The Universe (2015), yang mempamerkan pelbagai artifak dan karya berasaskan seni khat dari dalam dan luar negara.
Kesemua khazanah yang dikumpulkan itu tidak disia-siakan, malah tersimpan rapi di Muzium Seni Asia (MSA), dan Muzium Etnografi Melayu (MEM), UM.
Selepas hampir sedekad, pihak Akademi Pengajian Melayu (APM), UM berminat untuk mengetengahkan semula, sambil memasyarakatkan khazanah berharga tersebut.
Hasrat murni itu diterjemahkan menerusi penganjuran Pameran Seni Khat di Dewan Angsana, APM, UM dari 16 Disember 2024 sehingga 16 Januari 2025.
Tanpa bayaran masuk, pameran yang dibuka setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad, serta cuti umum dari pukul 9.00 pagi sehingga 5.00 petang ini mempamerkan 45 buah karya, gabungan koleksi MSA, MEM, Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK), dan Persatuan Karyawan Kaligrafi Malaysia (KALIMA).
Ada dua perkara menarik mengenai Pameran Seni Khat ini. Pertama, berbeza dengan pameran-pameran lalu apabila diberikan tema khas.
Menurut YBrs. Encik Anis Samad, kurator pameran, “Mutiara Hadis” dipilih sebagai tema kerana hadis-hadis Rasulullah SAW adalah sumber rujukan, panduan dan bimbingan umat Islam selepas al-Quran.
“Hadis-hadis tersebut juga sudah terkenal, biasa dan dimesrai masyarakat Islam, terutama orang Melayu hingga dianggap sebagai kata-kata hikmat. Jadi, amat baik dan wajar hadis-hadis yang amat berharga dan bernilai tinggi bagaikan mutiara ini diangkat sebagai tema,” jelas beliau.
Antara hadis tersebut ialah “Perbanyakkanlah menyebut: Ya Zal Jalali wal Ikram”, “Bukanlah kekayaan dengan banyaknya harta, tetapi kekayaan sebenar adalah kekayaan jiwa”, dan “Syurga di bawah telapak kaki ibu.
Kedua, bersempena dengan pameran, diadakan Demonstrasi Seni Khat pada 19 Disember lalu. Segmen tersebut dijayakan oleh 13 orang penulis dan pelukis khat yang menganggotai PSKK, dan KALIMA yang menghasilkan karya baharu berdasarkan tema pameran.
Mereka terdiri daripada Zainurrahman Afandi, Dr. Abd. Rahman Hamzah, Profesor Madya Dr. Nor Azlin Hamidon, Ustaz Mohd. Fadil Sulaiman, Encik Mohd. Zulfikri Mohd. Sobri, Puan Siti Hawa Zainal Abidin, Cik Haneen Shaheeda Abd. Rahman, Encik Ahmad Rajaei Awang, Encik Muhammad Afifuddin Sabri, Encik Mohd. Nur Hazwan Yusoff, Puan Ainun Jariah Yaacob, Encik Abdul Rahman Sahalan, dan Cik Nor Hana Fauzin Muhammad Fauzi.
Kesemua 17 buah karya yang mereka hasilkan pada hari itu terus dipamerkan sejurus siap, dan menjadi bahan pameran utama Pameran Seni Khat tersebut. Sebanyak 28 buah karya lama turut dipamerkan sebagai bahan kedua pameran berkenaan.
Sebagai pelengkap, pada hari yang sama turut diadakan Ceramah Mutiara Hadis, yang disampaikan oleh Ustaz Fauwaz Fadzil. Pengisiannya dimulakan dengan pengenalan ilmu hadis, diikuti huraian beberapa buah hadis daripada pameran. Secara tidak langsung, pemilihan tema pameran untuk demonstrasi dan ceramah ini sebagai usaha menyebarluaskan ilmu daripada hadis-hadis yang dituliskan dalam bentuk karya khat.
APM menjemput orang ramai mengunjungi pameran ini yang secara umumnya bertujuan melestarikan seni khat, memasyarakatkan karya seni khat koleksi UM, dan menyebar luas serta menyemarakkan mesej cinta Rasul.