Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRebab merupakan alat muzik yang menghubungkan kebudayaan pelbagai negara. Sejauh manakah kebenaran tersebut? Adib MN merungkai keistimewaan rebab yang baru-baru ini diangkat sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara.
Pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap rebab sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara pada sesi di Asucion, Paraguay pada bulan ini, bukan sahaja menobatkan alat muzik sarat dengan nilai sejarah dan budaya, bahkan menjadi simbol kekuatan seni di tengah-tengah cabaran modenisme hingga ekstremisme.
Ini bermakna empat negara berkongsi warisan rebab, iaitu Afghanistan, Iran, Tajikistan dan Uzbekistan, sekali gus menjadikan alat muzik bukan sahaja nadi kepada pelbagai tradisi seni di rantau Asia Tengah, Asia Selatan, tidak terkecuali alam Melayu dalam ‘varian’ rebab, memiliki jambatan ampuh mengukuhkan kesatuan dan kebersamaan.
Alat ini turut ditegaskan dalam keputusan Sidang Ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO itu bahawa rebab menjadi jambatan bagi pertukaran budaya dan solidariti, menghubungkan tradisi yang melangkaui batas geografi.
Rebab juga bukan sekadar seni hiburan, sebaliknya sudah lama hadir dalam kesusasteraan Parsi dan sufi yang seperti kata pengasas bersama Transglobal World Music Chart, Angel Romero dalam tulisannya termuat di World Music Centre, sering dikaitkan dengan tradisi kerohanian dan sosial, menjadi bahagian dalam tarekat sufi seperti Naqshbandi, Chishti, Qadiri, Suhrawardiyya dan Zahabiya.
“Kewujudannya sangat penting khususnya dalam komuniti seperti etnik Baloch di Afghanistan dan Iran; Uzbek di Uzbekistan dan Afghanistan; Tajik di Tajikistan dan Uzbekistan (terutama di Samarkand dan Bukhara) serta kelompok Pashtun dan Sistani di Iran dan Afghanistan,” tulisnya.
Rebab diperbuat daripada kayu pokok mulberi atau walnut, dilapisi dengan kulit kambing atau kijang dengan petikan tiga hingga enam tali utamanya dan beberapa tali resonans menghasilkan bunyi unik.
Di sebalik kehadiran rebab bukan sahaja dalam kebudayaan dan kesenian zaman-berzaman, bahkan menjadi bahagian penting tradisi sufi yang menjadi asas dalam pengamalan Islam dalam kehidupan majoriti umat Islam dan menerima cabaran getir di Afghanistan.
AFP melaporkan penguasaan kembali Taliban di negara itu pada tahun lalu, memberikan kesan kepada seni muzik secara umum dan rebab secara khusus apabila tidak lagi membenarkan dimainkan di tempat awam sama ada persembahan secara langsung atau hiburan di restoran mahupun di radio dan televisyen.
Kerajaan juga mengehadkan aspek seni kepada puisi dan nyanyian tanpa diiringi alat muzik, sekali gus mengambil tafsiran lebih ketat berbanding keluasan hukum kerana termasuk dalam perkara khilafiyah atau cabang.
Dalam wilayah yang pembuatan dan persembahan berasaskan tradisi turun-temurun, sudah tentu akan mengancam kebudayaan itu di negara berkenaan, apatah lagi apabila pemuzik terpaksa meninggalkan tanah air.
Mujur sahaja rebab tidak dimiliki secara khusus oleh Afghanistan, apatah lagi beberapa negara mengambil keputusan bekerjasama menganjurkan persembahan bersama seperti Festival Muzik Fajr paling berprestij di Iran dan Festival Muzik Antarabangsa Sharq Taronalari di Samarkand, Uzbekistan, sekali gus diiktiraf antara terbesar di Asia Tengah.
Dengan pengiktirafan alat muzik rebab oleh UNESCO, diharapkan lebih banyak festival dan persembahan dapat diadakan secara bersama oleh negara yang berkongsi warisan berharga itu.
Malah, tidak mustahil penganjurannya juga boleh mempertemukan rebab dengan variannya yang lain termasuk rebab dari alam Melayu.
Hakikatnya, rebab dengan melodi yang merdu dan seni kraf yang memukau, menjadi warisan yang dapat mengingatkan kita terhadap kekayaan kesenian dan kebudayaan yang menjadi bahagian penting dalam ketamadunan serta peradaban manusia.
Apatah lagi, rebab bukan hanya memberikan hiburan semata-mata, bahkan memiliki lapisan kerohanian hingga turut dimanfaatkan dalam tradisi sufi dan tariqat, sekali gus mempunyai hubungan dengan ketenangan jiwa serta diri yang dapat mengingatkan pendengar kepada sifat Jamal (Indah) Rabb.
______________________________
Adib MN ialah eseis dan pengarang kreatif mengamati sastera dari jarak dekat.