Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wang Kelian – Denai Warisan bukan sekadar laluan, tetapi sebuah tapak yang menghubungkan kita dengan keindahan alam semula jadi, khazanah warisan dan budaya yang telah lama menjadi kebanggaan negeri Perlis.

Kawasan ini juga kaya dengan nilai sejarah dan kepelbagaian biologi serta bentuk rupa muka bumi yang mampu menjadi aset pelancongan untuk negeri dan masyarakat setempat.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Wang Kelian, baru-baru ini.

Dalam titah tersebut, baginda turut menyatakan agar infrastruktur dan kemudahan awam di sepanjang denai ini dapat terus ditambah baik dan lebih banyak akses jalan.

Selain itu, memperbanyak pembinaan tempat rehat dan papan tanda maklumat, serta mengadakan kempen promosi yang bersasar untuk menarik ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

Baginda turut yakin bahawa sokongan yang berterusan daripada pihak kerajaan, rakan strategik, dan komuniti setempat, Denai Warisan mampu menjadi mercu tanda ikonik baru yang mampu memacu perkembangan ekonomi.

Denai Warisan baru sahaja menjalani proses baik pulih yang menghubungkan dua kampung iaitu Kampung Wang Kelian dan juga Pekan Kaki Bukit sekali gus dapat memacu perkembangan ekonomi yang mampan di negeri Perlis.

Di samping itu, penyediaan kursus latihan kepada penduduk tempatan dalam bidang hospitaliti, pemandu pelancong, dan pengurusan perniagaan kecil juga penting untuk meningkatkan kebolehan mereka dalam sektor ini

Dalam masa yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Roots and Shoots Malaysia, The Habitat Foundation, Kementerian Kewangan Malaysia, Manulife Holdings Bhd, Sustainable Tourism Network Malaysia, Monyet Ventures, Perlis Nature Explorer, Komuniti Kaki Bukit, Komuniti Wang Kelian, dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis atas kerjasama dan komitmen yang luar biasa dalam menjayakan usaha ini.

Sebelum itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra telah berkenan menyertai kayuhan amal anjuran MAIPs yang turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Perseketuan.

Usaha ini merupakan acara mingguan yang dijalankan oleh pihak MAIPs dengan kerjasama pelbagai rakan strategik dalam usaha membantu golongan asnaf keluar dari kepompong kemiskinan dan menambah baik kehidupan mereka dan keluarga.

Sempena kayuhan kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyerahkan sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada kali ini iaitu Abdullah Mat Isa, 85 tahun, Abdul Halim Che’izham, 54 tahun dan Jamizah Abdullah kesemuanya dari Kampung Wang Kelian.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan untuk menyerahkan sumbangan MAIPs kepada asnaf di Wang Kelian, baru-baru ini.

Masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM 700.00, Kits MAIPs Peduli serta beras bagi menampung keperluan harian sekeluarga.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.