6 Januari 2025, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan harapan besar Malaysia untuk menarik 35.6 juta pelancong menjelang 2026, dengan jangkaan pendapatan pelancongan mencecah RM147.1 bilion. Harapan ini, menurut beliau, bersifat “optimistik tetapi realistik” dan dijangka memberi manfaat besar kepada pelbagai sektor ekonomi seperti pelancongan, makanan dan minuman serta industri berkaitan.

Aspirasi tersebut diungkapkan oleh beliau sebelum melancarkan Kempen Tahun Melawat Malaysia dan logo rasmi Tahun Melawat Malaysia yang diadakan di Hangar Enam, Kompleks MAG, pagi tadi.

Pelancaran Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 adalah satu pendekatan baharu dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang utama di rantau ini dan di dunia. Menurut YAB Dato’ Seri Anwar, ikhtiar terhadap matlamat tersebut telah dimulakan pada tahun ini bagi memastikan bahawa tahun 2026 akan mencatatkan pertumbuhan pelancongan yang pesat ke seluruh negara, merangkumi semua daerah dan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Dalam kita menjayakan kepengerusian ASEAN tahun ini, program-program yang bakal dilancarkan bakal merangkumi penyertaan seluruh negeri-negeri tanpa kecuali, sebagai destinasi pelancong pada tahun ini dan tahun-tahun kehadapannya. Untuk itu, saya telah minta semua kementerian untuk memberikan tumpuan [kepada Tahun Melawat Malaysia 2026] supaya Malaysia dapat meningkatkan keupayaan dalam bidang pelancongan, pelaburan dan ekonomi agar tiada kawasan atau negeri yang tersisih dan tertinggal,” ujar beliau.

Ketika berucap, YAB Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa citra Malaysia sebagai destinasi pelancongan bukan sekadar fokus kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga kepada kelestarian alam sekitar dan keharmonian komuniti. “Malaysia adalah destinasi unik yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan etnik rakyatnya. Ini selaras dengan rangka kerja Malaysia MADANI, yang memberi penekanan kepada pembangunan mampan dan kualiti hidup yang lebih baik,” tambah beliau.

Perdana Menteri turut memperincikan empat tema utama kempen tersebut, iaitu Ekopelancongan dan Kelestarian, Tarikan Moden dan Inovasi, Warisan Budaya dan Kepelbagaian serta Kerjasama dan Perkongsian Strategik.

“Melalui kempen ini, semua negeri dan komuniti, termasuk kawasan luar bandar, perlu mendapat manfaat. Setiap negeri mempunyai peranan penting, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh kejayaan Tahun Melawat Selangor dan Kedah pada tahun ini,” kata beliau.

Dalam mempromosikan sektor pelancongan, beliau berkata, semua usaha-usaha bagi menarik pelancong ke negara ini mesti selaras dengan aspirasi nasional yang menekankan perpaduan dan citra Malaysia yang beragam rupa.

“Sudah tentu, pelancongan adalah satu keperluan ekonomi yang tidak dapat dinafikan keberkesanannya dari sudut untuk memakmurkan ekonomi. Oleh itu, slogan ‘Malaysia Truly Asia’ dan ‘Malaysia Yang Unik’ amat relevan dalam konteks memacu Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama, dengan menekankan aspek kelestarian, kebajikan ekonomi secara umum dan mesra alam.”

Kesan kepada Tahun Melawat Malaysia 2026, menurut Perdana Menteri, akan melangkaui industri pelancongan. 

“Kesannya akan merangkumi sektor hospitaliti, pengangkutan, peruncitan dan industri makanan. Tambahan pula, manfaat ekonomi ini akan dikongsi bersama oleh komuniti bandar, luar bandar dan kawasan pedalaman. Penekanan perlu diberikan untuk memastikan setiap negeri dan komuniti memainkan peranan serta mendapat manfaat daripada usaha ini,” ujar beliau.

YAB Dato’ Seri Anwar mengakhiri ucapan dengan seruan kepada semua pihak, termasuk kerajaan negeri, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta, untuk berganding bahu menjayakan kempen ini. “Saya yakin Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi tahun terbaik untuk sektor pelancongan negara kita,” tambah beliau lagi.

Dengan pelancaran logo rasmi ini, Malaysia kini bersedia untuk memperkukuh kedudukannya di peringkat global, mempromosikan nilai-nilai kelestarian dan keunikan budaya kepada pelancong dari seluruh dunia.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Dato’ Seri Haji Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Seri Tiong King Sing; Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.