Diterbitkan pada 6 Januari 2025, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Sketsa Madu Tiga, yakni tentang alam perkahwinan dan poligami yang diarahkan oleh Dee telah berjaya mencuit hati para penonton yang menontonnya.

Malah dialog sketsa yang ditutur dalam bahasa Melayu klasik dan pembawaan watak secara bersahaja oleh para pelakon menambah lagi keseronokan dalam menonton.

Menurut pengarah, para pelakon memainkan peranan yang penting dalam menjayakan sketsa ini.

“mereka bijak dalam mengawal pentas, menggunakan sepenuh ruang yang ada dan berinteraksi dengan para penonton bagi menjadikan sketsa tersebut lebih menarik”

“Lakonan yang penuh penghayatan dan lontaran intonasi suara yang jelas juga membuatkan mesej yang cuba disampaikan berjaya meresap ke dalam jiwa para penonton.” Jelas Dee setelah berakhirnya persembahan.

Terdahulu, sketsa Madu Tiga telah dipentaskan oleh kumpulan Sayap Remaja Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di Dewan Utama OCD, UIAM Kuantan baru-baru ini.

Pementasan oleh mahasiswa daripada Sayap Remaja DPMP UnIPSAS bertujuan untuk menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti berteraskan sastera dan budaya.

Pelibatan anak muda ini mampu menggilap bakat baharu khususnya dalam pementasan teater dan memberikan pendedahan kepada mereka.

Sebahagian babak dalam Madu Tiga.

Turut hadir menyaksikan persembahan pada malam tersebut ialah Yang Berusaha Puan Nurul Julia Alani Henry, Pengarah DBP Wilayah Tengah; Yang Berusaha Prof. Emeritus Dato’ Mansor Abdullah, Presiden DPMP; Prof. Madya Dr. Arifin Kadri, Penasihat Kelab Fuscia UIAM Kuantan; Puan Nurul Azah Jalil, penyelaras Sayap Remaja DPMP UnIPSAS dan tetamu-tetamu jemputan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi