7 Januari 2025, 09:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Pementasan teater Seorang Tua di Kaki Gunung pada 3 Januari 2025 dan 4 Januari 2025 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) negeri Kedah menjadi platform untuk memperkenalkan semula karya sastera agung dalam bentuk yang lebih dinamik dan visual

JKKN berkata, pementasan ini juga merupakan usaha kolaborasi antara JKKN Kedah bersama-sama penggiat seni dan badan bukan kerajaan (NGO) budaya untuk menyemarakkan teater dan memperkasa industri seni persembahan di Malaysia.

“Pementasan teater Seorang Tua di Kaki Gunung yang bermula pada jam 8.30 malam membawa naskhah karya agung Azizi Haji Abdullah ke pentas dengan nafas baharu, bertujuan untuk memperkasakan seni budaya tempatan,” kata JKKN dalam suatu kenyataan.

Poster pementasan teater Seorang Tua di Kaki Gunung.

Menurut JKKN, novel Seorang Tua di Kaki Gunung pernah dijadikan teks sastera untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1982 dan telah memenangi tempat kedua dalam Sayembara Hadiah Novel GAPENA-Yayasan Sabah II pada tahun 1981.

Katanya, kisah yang menyentuh nilai kemanusiaan, cabaran hidup serta hubungan manusia dengan alam semula jadi ini menjadikannya sangat sesuai untuk diangkat ke pentas teater.

Tambahnya, pementasan ini juga bertujuan untuk menghubungkan generasi baharu dengan karya klasik yang kaya dengan nilai seni dan budaya tempatan.

“Pementasan ini menampilkan dua pelakon jemputan istimewa, iaitu Dato’ Jalaluddin Hassan dan Dr. Norzizi Zulkifli yang akan membawa watak dalam karya ini dengan lakonan mantap mereka,” katanya.

Dato’ Jalaluddin Hassan dan Dr. Norzizi Zulkifli merupakan dua pelakon jemputan istimewa dalam teater Seorang Tua di Kaki Gunung.

JKKN berkata, gabungan bakat ini dijangka memberikan impak besar kepada penonton dan menyampaikan mesej mendalam yang terkandung dalam novel ini.

Selain itu, katanya, pementasan ini juga membawa pelakon baharu yang telah diuji bakat, bagi memberikan peluang dan ruang kepada mereka yang berminat dalam seni budaya untuk mengembangkan lagi bakat mereka dalam seni persembahan teater.

Menurut JKKN, pementasan teater ini merupakan arahan daripada seorang pengarah teater yang berpengalaman luas dan pernah mengarahkan pelbagai pementasan teater terkenal di Malaysia, iaitu Encik Zaifri Husin.

Tambahnya, antara karya arahan beliau termasuklah Mana Setangginya dan Gamat selain pernah mengarahkan teater kanak-kanak seperti Bawang Putih Bawang Merah, Taman Baginda, Belalang Kenit, dan Ali Baba.

Katanya, teater Ali Baba arahannya turut telah dianugerahkan Persembahan Terbaik Muzikal Kanak-kanak 2008 di India.

JKKN berharap pementasan ini dapat merapatkan jurang generasi dalam menghayati nilai seni dan budaya Malaysia sebagai langkah memartabatkan seni budaya tempatan.

JKKN turut percaya bahawa usaha ini bukan sahaja akan menyemarakkan industri teater tempatan, tetapi juga memupuk kecintaan terhadap warisan seni dan budaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.