Diterbitkan pada 7 Januari 2025, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur  – Legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir, menyanyikan semula sebuah lagu klasik awal 1900-an, iaitu Nuri Terbang Malam yang digubah mengikut arus semasa.
Lagu ini dipercayai merupakan lagu Melayu pertama yang pernah direkodkan dalam piring hitam sekitar tahun 1903, oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa dari United Kingdom, Gramophone Company.
Nuri Terbang Malam pada asalnya dinyanyikan oleh Qasim, seorang penyanyi  Wayang Semarang dari Pulau Pinang dan dirakamkan di Singapura yang menggabungkan unsur muzik tradisional India dan Timur Tengah.
Lagu tersebut mencerminkan pelbagai budaya yang wujud di rantau ini pada zaman tersebut, malah liriknya berkisarkan tentang cinta yang tidak pernah pudar, sebagaimana burung Nuri yang terus mencari dalam malam yang gelap.
Dalam usaha memberikan nafas baharu kepada Nuri Terbang Malam, Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas), milik M. Nasir sendiri, telah menerbitkannya dengan versi rakaman baharu, dinyanyikan oleh beliau dan penyanyi latarnya, Tam Mustafah dan Usop Kopratasa.
“Sebagai seorang penggiat seni, saya ingin membawa karya ini kepada generasi baharu tanpa melupakan asal usulnya. Lagu ini adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita, dan menjadi tugas kita untuk mengabadikannya,” kata Nasir.
Dengan vokalnya yang penuh emosi dan sentuhan kreatif yang unik, Nasir bukan sahaja memberikan nyawa baharu kepada Nuri Terbang Malam, tetapi juga menghubungkan pendengar masa kini dengan warisan muzik Melayu yang kaya.
Projek ini membawa penghargaan baharu kepada sejarah seni muzik tanah air, serta memperkenalkan semula karya klasik kepada khalayak moden. Bukan sekadar penghormatan kepada sejarah, tetapi juga bukti kebolehan seni M. Nasir dalam menghidupkan semula karya yang hampir dilupakan.
Dato M. Nasir menyanyikan lagu Nuri Terbang Malam dengan gaya tersendiri.
Usaha pembangkitan semula Nuri Terbang Malam ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada projek kerjasama antara Luncai Emas dengan World Business Affairs Sdn. Bhd. (WBA) yang diberi nama 100 Lagu 100 Tahun.
Projek ini adalah cetusan idea Profesor Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak, serta produser dan komposer terkenal, Dr. Mohd. Azhar Abu Bakar.
Objektifnya adalah menghimpunkan 100 buah lagu popular Melayu, bermula dari abad ke-20 dalam bentuk audio, dan juga buku.
Buku ini memuatkan informasi tentang latar belakang dan sejarah setiap lagu, sekali gus menjadi rujukan berharga kepada generasi masa kini, dan akan datang.
Buku 100 lagu 100 tahun bakal diterbitkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) Press, manakala audio 100 lagu 100 tahun hasil penerbitan Azmeer, akan diedarkan oleh Luncai Emas sepanjang tahun 2025.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi