Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – Sebuah pementasan teater yang penuh dengan emosi dan keindahan seni, Laila Majnun, telah dipersembahkan di Dewan Konvensyen Kemudahan Guna Sama Edu Hub Pagoh sebagai satu daripada acara dalam Program Nuansa Senja.
Program yang berlangsung pada 2 Januari 2025 ini dianjurkan oleh pelajar BMCO 1102 Pengenalan Kepada Kesusasteraan Dunia, yang melibatkan pelbagai elemen seni dan budaya bagi memperkenalkan dan menghayati karya sastera yang terkenal.

Pementasan yang menyampaikan kisah cinta agung antara Laila dengan Majnun ini ternyata memukau penonton yang hadir.
Penonton yang hadir bukan sahaja dapat menikmati persembahan teater, tetapi juga berpeluang merasai keindahan dunia sastera melalui pentas yang digarap dengan penuh teliti.
Dengan latar belakang yang bertepatan dengan tema Nuansa Senja, teater ini mengangkat elemen tradisional yang menggabungkan muzik dan seni lakonan yang mendalam.

Para pelajar yang berusaha keras ketika latihan dan penyediaan pementasan ini telah memberikan persembahan yang menarik serta penuh emosi.
Menurut Muhammad Zulhamizan Zuljaini selaku pengurus program, dan dibantu oleh Puteri Ellysha Alya Ellys Herman, pementasan ini bukan sahaja memberikan peluang kepada para pelajar untuk mempersembahkan bakat seni mereka, tetapi juga memberikan pemahaman lebih mendalam tentang nilai sastera.
Pementasan ini juga dapat memupuk minat pelajar dalam bidang seni dan sastera, serta menjadi platform untuk mengembangkan kreativiti dan kecintaan mereka terhadap seni budaya.