Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru – Malaysia dan Korea Selatan terus perkukuh komitmen kedua-dua negara dalam usaha mempererat hubungan dua hala melalui kerjasama pelancongan.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam suatu kenyataan berkata, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) tentang kerjasama dalam bidang pelancongan berkenaan dijangka membawa manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negara.
“Hal ini termasuklah meningkatkan pertukaran budaya, mendorong peningkatan kedatangan dan hasil pelancongan, serta menjana peluang ekonomi,” katanya.
Tambahnya, MoU ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan untuk memperkukuh kerjasama antara Malaysia dengan Korea Selatan dalam sektor pelancongan yang merangkumi komitmen bersama untuk meningkatkan pemahaman, pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai aspek pelancongan.
Selain itu, katanya, antara fokus utama yang digariskan dalam MoU ini termasuklah promosi dan pemasaran pelancongan, pembangunan kapasiti, perkongsian maklumat dan amalan terbaik dalam pelancongan.
Menurut MOTAC, MoU ini juga dimeterai bagi meningkatkan pelancongan perniagaan dan membangunkan pelancongan berasaskan komuniti dan ekopelancongan.
MoU berkenaan ditandatangani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Seri Tiong King Sing dan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan, Yu Inchon.
Majlis menandatangani MoU ini berlangsung semasa penganjuran ASEAN Tourism Forum (ATF) yang diadakan dari 15 – 20 Januari 2025 di Johor Bahru.