Diterbitkan pada 26 Januari 2025, 18:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajang – Anak Alam suatu ketika dahulu menjadi fenomena dalam persada seni tanah air. Kumpulan ini menjadi tumpuan dalam arus pergerakan seni seperti lukisan, puisi dan teater, namun begitu sekarang kumpulan ini seolah-olah diibaratkan sebagai “hidup segan mati tak mahu”.

Kumpulan Anak Alam dianggotai oleh pelbagai tokoh seni yang banyak menyumbangkan jasa dan bakti kepada dunia seni negara. Kumpulan ini juga menjadi tanda aras kepada konsep kesenian yang seharusnya dilakukan oleh penggiat seterusnya.

Jasa dan sumbangan mereka terserlah dengan kewujudan para pelukis kontemporari, penggiat seni dan teater yang sedikit sebanyak menjadikan Anak Alam sebagai rujukan dalam berkarya.

Menyedari perkara ini, satu forum telah dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Pertubuhan Kota Buku Bangi (PKBB), iaitu Forum Anak Alam dalam Sorotan Sejarah, pada hari ini. Forum tersebut menyingkap sejarah kewujudan kumpulan tersebut.

Forum ini juga diadakan adalah untuk meraikan dan menghargai tokoh Anak Alam yang masih aktif sehingga sekarang.

Satu daripada ahli Anak Alam, iaitu Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainun Ismail ketika menjadi ahli panel, mengimbau kembali bagaimana beliau boleh terlibat dengan kumpulan tersebut sekembalinya ke tanah air pada suatu ketika dahulu. Katanya,

“Sehingga kini Anak Alam tiada ahli. Pada ketika itu, jika ada anak seni yang berminat untuk turut serta dan mahu menghasilkan sebuah karya, itu sudah memadai untuk membuktikan kewujudan Anak Alam,” ujar beliau.

Bagaimanapun beliau cukup bersedih atas apa yang berlaku. Anak Alam mempunyai rumah sendiri, namun sekarang telah dirobohkan oleh pihak berkenaan kemudian diganti dengan bangunan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Beliau tidak mahu menyemarakkan semula Anak Alam kerana faktor usia, sebaliknya beliau mahu generasi muda yang suka dan cinta akan pergerakan seni lukisan, puisi dan teater untuk membangunkan semula kumpulan ini.

Mana tahu ada orang kaya sedia hulurkan rumah untuk Anak Alam bagi menggantikan semula rumah yang telah dirobohkan itu.

Orang ramai mengikuti forum Anak Alam dalam Sorotan Sejarah dengan penuh minat.

Program yang diadakan di Kompleks Hentian Kajang Selangor turut membariskan ahli panel Dato’ Che Shamsudin Othman (Dinsman) dan Encik Faizal Sidik, manakala Encik Ferri Anugerah Makmur sebagai moderator.

Kumpulan Anak Alam ini penting untuk diingati kerana karya mereka merupakan khazanah yang tidak ternilai khususnya kepada dunia seni negara.

 

 

 

Kredit Foto: Salmiyah Harun
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi