Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGambang – Program Malam Citradisional: Sanggar Nirmala yang diadakan Dewan Al-Khawarizmi Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang berjaya menarik hampir 1000 orang hadirin yang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan staf universiti.
Program yang diadakan pada 7 Februari 2025 ini bertujuan untuk menghayati dan memartabatkan warisan seni serta budaya Melayu dalam kalangan pelajar dan warga UIAM Gambang.
Citradisional merupakan akronim dua perkataan yang digabungkan, iaitu “citra” yang merujuk nama kelab seni persembahan di Pusat Asasi UIAM Gambang, dan juga “tradisional” yang merupakan fokus konsep program pada malam itu.
Pelbagai persembahan tradisional dipentaskan oleh pelajar Kelab CiTRA UIAM Gambang seperti teater cerita rakyat, dikir barat, nyanyian lagu asli, gamelan, syair dan sajak.

Setiap persembahan memukau hadirin dengan keunikan dan keindahan seni warisan yang dipersembahkan dengan penuh semangat dan kreativiti.
Malam istimewa ini turut dimeriahkan dengan penampilan khas selebriti ternama tanah air, Khai Bahar yang mengalunkan beberapa lagu berirama tradisional.

Para hadirin nyata teruja dan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan eksklusif daripada penyanyi lelaki popular itu.
Penasihat Kelab CiTRA, Pusat Asasi UIAM, Encik Muhammad Faizuddin Hashim, dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga atas kejayaan penganjuran program ini yang bukan sahaja meriah, tetapi juga menyemarakkan rasa cinta dalam kalangan pelajar terhadap seni dan budaya Melayu.
Penganjuran Malam Citradisional: Sanggar Nirmala ini membuktikan komitmen Pusat Asasi UIAM Gambang amnya, serta Kelab CiTRA khususnya, dalam usaha menerapkan nilai kesenian dan kebudayaan dalam kalangan pelajarnya.
Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan warisan seni tradisional terus subur dalam jiwa generasi muda.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Dekan Pusat Asasi UIAM Gambang, Tuan Haji Hasanul Basri Abdullah dan Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti, Puan Nazira Zubir.