Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Institut Warisan Melaka (INSWA) terus memainkan peranannya membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nilai warisan budaya dan warisan tak ketara yang terdapat di negeri Melaka dengan mengadakan Program Bengkel Dondang Sayang, baru-baru ini.
Pengurus Besar INSWA Drs. Mohd Nasruddin Rahman berkata, bengkel yang diadakan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Pengkalan Batu itu turut mendapat kerjasama JAPERUN Pengkalan Batu dan Tourism Melaka dan disertai seramai 50 peserta di Bilik Gerakan Kampung Bukit Palah.
Menurut Drs. Mohd Nasruddin, objektif utama bengkel itu diadakan adalah untuk mengukuhkan, memelihara serta meneruskan kesinambungan peranan pengiktirafan yang telah diberikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam memperjuangkan seni budaya dan warisan Dondang Sayang agar tidak pupus di minda generasi muda.

“Seramai 50 orang peserta telah menyertai bengkel ini yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah, penuntut IPT, ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dan Sidang DUN Pengkalan Batu.
“Lebih menarik, separuh dari jumlah peserta bengkel ini merupakan warga DUN Pengkalan Batu sendiri yang terdiri dari golongan belia dan ini dapat mencetuskan minat masyarakat khususnya generasi muda agar mendalami, menghayati serta memperkasakan seni warisan Dondang Sayang sebagai salah satu khazanah warisan seni budaya masyarakat Melayu,”katanya.
Drs. Mohd Nasruddin, berkata semua peserta bengkel diberi bimbingan dan panduan mengenai Dondang Sayang oleh Tuan Haji Idriss bin Haji Sariff, Ketua Unit Muzik, INSWA dan dibantu barisan pemuzik dari INSWA.
“Antara pengisian bengkel termasuklah asas nyanyian Dondang Sayang rentak asli, Inang, Joget dan Mambo dan para peserta diajar tentang asas penciptaan pantun yang baik”katanya.