Diterbitkan pada 24 Februari 2025, 12:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Pameran, bengkel dan demonstrasi Wau Pungguk yang diadakan pada 22 hingga 23 Februari 2025 di Yayasan Pahang berjaya menarik sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Program ini dianjurkan oleh Persatuan Wau dan Layang-Layang Negeri Pahang, Yayasan Pahang dan Pasar Sera, bertujuan untuk mempromosikan seni tradisional wau pungguk serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap warisan budaya ini.

 

Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang dua hari acara ini, termasuk pameran wau pungguk, demonstrasi penerbangan wau, bengkel menghasilkan wau pungguk, dan sesi “Moh Terbangkan Wau Pungguk” yang memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba menerbangkan wau sendiri.

Menurut Pengarah Program, En. Zulkefli Hussin, sambutan daripada pengunjung sangat menggalakkan dan program ini mendapat perhatian yang tinggi.

“Bengkel menghasilkan wau ini disertai oleh 20 peserta berusia antara 7 hingga 70 tahun, dipimpin oleh En. Mohd Ridhuan, seorang pakar dalam seni pembuatan wau. Kami sangat teruja dengan penyertaan peserta yang begitu bersemangat mempelajari seni tradisional ini,” kata En. Zulkefli.

Bengkel ini merekodkan  peserta paling tua berusia 70 tahun iaitu En. Jamaludin Ahmad dari Muar, Johor. Beliau datang jauh dari daerah Muar, Johor kerana minat yang mendalam untuk mempelajari seni pembuatan wau pungguk.

En. Jamaludin Ahmad, peserta berusia 70 tahun tekun menyiapkan wau pungguk.

Hasrat En. Zulkefli, yang juga Pengerusi Persatuan Wau dan Layang-Layang Negeri Pahang, adalah untuk memastikan seni pembuatan wau pungguk ini terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang. “Program seperti ini adalah langkah pertama dalam memastikan warisan budaya kita terus hidup dan dihargai,” tambah beliau.

Selain itu, program ini turut diserikan dengan kehadiran YB. Dato’ Sabariah  Saidan, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, yang meluangkan masa untuk melawat tapak pameran selepas merasmikan Pasar Sera Persona.

YB Dato’ Sabariah Saidan, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang menerima cenderahati daripada En. Zulkefli Hussin.

Kehadiran beliau memberi sokongan padu terhadap usaha memartabatkan seni dan budaya tradisional Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi