Diterbitkan pada 26 Februari 2025, 09:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Cabaran Wau dan Layang-Layang 2025 serta Festival Seni dan Budaya yang berlangsung di Kampung D Benua, Simpang Empat pada hari Jumaat dan Sabtu lalu, menerima sambutan luar biasa dengan hampir 1000 kumpulan menyertai pertandingan.

Namun begitu, penyertaan terpaksa dihadkan kepada 570 kumpulan sahaja bagi memastikan kelancaran festival tersebut.

Orang ramai berpeluang menyaksikan pelbagai jenis wau yang dihasilkan oleh peserta dari beberapa negeri.

Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKNK), YBrs. Encik Asmirul Anuar Aris berkata, kejayaan festival ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak dari awal pagi hingga malam.

Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKNK), YBrs. Encik Asmirul Anuar Aris (dua dari kiri) bergambar dengan beberapa orang pelukis daripada Angkatan Pelukis Kedah di festival itu.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan festival ini, termasuk pegawai dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Belia dan Sukan (JBS) serta Angkatan Pelukis Kedah,” katanya.

Festival ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Mantan Menteri Besar Terengganu, YBhg. Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, yang turut beramah mesra dengan peserta.

Naib Yang Dipertua Satu MKNK, YBrs. Encik Osman Saaidin Jamal turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam pelbagai kategori pertandingan wau yang dipertandingkan.

Osman Saaidin Jamal (kanan) bergambar dengan seorang pelukis dari Angkatan Pelukis Kedah, Judin Ahmad.
Naib Yang Dipertua Satu MKNK, YBrs. Encik Osman Saaidin Jamal (kanan) bergambar dengan seorang pelukis daripada Angkatan Pelukis Kedah, YBrs. Encik Judin Ahmad.

Festival yang berlangsung pada 21 hingga 22 Februari 2025 ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pameran agensi kerajaan, pertandingan wau dan layang-layang serta acara sukan rakyat seperti Badang Kampung Benua, panjat tiang licin, pukul bantal, teka biji betik dan tangkap itik dalam air.

Turut diadakan ialah Jualan Rahmah yang menawarkan barangan dengan harga yang berpatutan kepada pengunjung.

Kredit Foto: Abd Razak Osman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi