Diterbitkan pada 27 Februari 2025, 12:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Merbok – Sebanyak 150 orang peserta yang terdiri daripada peminat sejarah, guru pelatih dari beberapa Institut Pendidikan Guru (IPG) negeri Kedah menyertai program Bicara@Muzium Zaman Prasejarah: Jejak Awal Peradaban di Malaysia yang diadakan di Muzium Arkelogi Lembah Bujang (MALB) Merbok baru-baru ini.

Pengarah MALB, Azhar Mohamed Noor berkata, melalui program ini peserta dapat menyelami secara lebih mendalam tentang sejarah awal peradaban negara ini dengan fokus khusus terhadap beberapa kawasan utama seperti Kedah, Pahang, Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, melalui perbincangan tentang sejarah awal manusia di Asia Tenggara yang mempunyai pelbagai kawasan geografi dan keanekaragaman alam semula jadi ini, peserta bukan hanya mengetahui asal usul manusia, tetapi juga bagaimana manusia berkembang menjadi masyarakat yang lebih maju.

“Pada zaman ini, kita telah melihat bukti yang ditemui di Kedah yang memaparkan kewujudan manusia prasejarah sejak lebih daripada 12 000 tahun yang lalu.

Hal ini bermula dari zaman Paleolitik, iaitu manusia pada ketika itu merupakan pemburu-pengumpul yang hidup secara nomad dan kini menjadi masyarakat yang lebih maju,” katanya.

Azhar menambah, program pertama anjuran MALB pada tahun ini akan diteruskan lagi untuk menambah ilmu kepada peserta berkaitan sejarah dengan kerjasama daripada pelbagai pihak di negara ini.

Sementara itu, menurut Felo Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Zuliskandar Ramli ketika sesi pembentangannya berkata, banyak tapak sejarah masih dalam kajian dan boleh terjejas jika terus diusik oleh syarikat industri seperti di Baling, Kedah dan Ipoh, Perak.

Turut hadir di program itu ialah Pegawai Daerah Kuala Muda, Azmin Zainal Abidin yang menyampai cenderahati kepada penceramah dan sijil kepada peserta.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi