Diterbitkan pada 10 Mac 2025, 09:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Banda Hilir – Seramai 38 orang peserta telah menyertai Bengkel Asas Konservasi dan Pengendalian Karya Seni anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) di Kompleks Muzium Rakyat, baru-baru ini.

Para peserta yang terdiri daripada pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA Ledang dan kakitangan Muzium Penjara Malaysia telah diberi taklimat dan latihan dalam memastikan karya seni dapat bertahan dan kekal relevan dalam konteks sejarah, estetika dan budaya kepada masyarakat.

Pengurus Besar PERZIM, Puan Erne Hamsah berkata, “bengkel sehari ini diadakan dengan kerjasama Pusat Repositori dan Konservasi Seni Negara (Art Hospital) dan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN).”

Puan Erne menyampaikan ucapan kepada peserta Bengkel Asas Konservasi dan Pengendalian Karya Seni.

“PERZIM amat berterima kasih kepada Encik Jazmi Mohamed Sharif, Penolong Kurator Kanan LPSVN yang telah memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada peserta dalam membincangkan kerja-kerja konservasi lukisan ini.”

“Apabila dapat mencegah kerosakan dan memulihkan fungsi estetik lukisan, perkara ini membolehkan penghayatan serta pendidikan seni yang berterusan, lalu meningkatkan nilai karya seni,” jelas Puan Erne ketika merasmikan program tersebut.

Sementara itu, Encik Jazmi menyatakan bahawa konservasi lukisan merupakan proses memelihara, memulihara dan melindungi karya seni agar kekal dalam keadaan baik dan dapat dinikmati generasi akan datang.

Puan Erna menyampaikan cenderahati kepada Encik Jazmi

“Proses ini melibatkan teknik-teknik saintifik, pengetahuan seni dan pemahaman mendalam terhadap bahan yang digunakan dalam karya tersebut yang meliputi elemen-elemen penting seperti kemahiran teknikal dan sensitiviti estetik yang tinggi.”

“Setiap lukisan mempunyai keunikan dan teknik konservasi yang tersendiri disesuaikan berdasarkan keadaan spesifik karya dan kehendak pemilik atau kurator muzium,” jelas beliau sewaktu berbengkel.

Menerusi bengkel ini peserta diajarkan teknik serta kaedah bagi memberikan informasi kepada umum tentang konservasi lukisan tersebut.

Sebelum itu, bengkel ini bertujuan untuk melindungi, memelihara dan memulih karya seni supaya dapat dinikmati dalam keadaan baik oleh generasi akan datang dengan memelihara integriti sejarah dan artistik karya seni.

Kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) dan kakitangan PERZIM turut menyertai bengkel yang diadakan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi