Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Dalam usaha memastikan seni budaya Melaka terus berdenyut, bermula bulan Mei hingga Oktober ini, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka akan memperhebat Program Bimbingan Seni dan Budaya 2025.
Pengarah JKKN Melaka, Cik Ezlina Alias, berkata Program Bimbingan Seni dan Budaya 2025 merupakan wadah penting untuk pihaknya memperkasa ekosistem seni budaya di Melaka yang bukan sahaja melatih kemahiran, tetapi menanam rasa cinta dan bangga terhadap warisan budaya dalam kalangan generasi muda.

Menurut Cik Ezlina, program tersebut juga bertujuan melahirkan bakat baharu disamping meningkatkan kemahiran pelajar dalam pelbagai bidang seni seperti tari, muzik, teater, silat, gasing dan seni berbahasa yang melibatkan penyertaan daripada Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) dan guru-guru sekolah.
Ujar beliau, program itu juga bukan sahaja mengenai kemahiran seni, tetapi juga tentang pembentukan jati diri dan pelestarian warisan budaya dan selaras dengan Pelan Strategik JKKN untuk memperluaskan asuhan seni budaya.
“Pelbagai aktiviti menarik menarik telah dirancang untuk Program Bimbingan Seni dan Budaya 2025 ini seperti Kelab Tunas Budaya (KTB), Kelab Giat Budaya (KGB), Bimbingan Pra Sekolah (Tari), Program Pusat Bimbingan Seni Budaya Terapi Seni (PuBSB), dan Program Bimbingan Hujung Minggu (PBHM) untuk memastikan program ini mencapai keberhasilan yang diharapkan,”katanya.
Beliau yakin program itu akan memberikan impak yang positif dan berkekalan kerana objektif yang jelas dan paduan kerjasama antara pihak JSBN dan guru.
“JKKN Melaka berharap program ini bukan sahaja akan dapat melahirkan pelajar yang mahir dalam bidang-bidang tersebut malah akan dapat melestarikan warisan tradisi supaya terus relevan dan berdaya saing.
“Program ini juga akan menjadi platform terbaik untuk mengembangkan bakat seni pelajar Melaka serta menjanjikan pengalaman yang berharga dan bermakna kepada mereka kerana ini merupakan pelaburan untuk masa depan seni budaya Melaka,”katanya.
