Diterbitkan pada 14 Mac 2025, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – “Perjalanan yang sungguh mengujakan. Kami masih ingat hari-hari awal menyokong usaha Kakiseni untuk menubuhkan Anugerah ini, dan 20 tahun kemudian, kami gembira melihat Anugerah Seni Cameronian BOH meneruskan peranannya membentuk, meraikan dan memberi inspirasi kepada pengamal industri ke skala yang lebih besar.”

Demikian ucapan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations (BOH), Jason Foo dalam majlis Pengumuman Calon Anugerah Seni Cameronian BOH ke-20 (BCAA) di Teater Eksperimental, Taylor’s Lakeside Campus pada 11 Mac lalu.

Tambah Jason, anugerah ini merupakan warisan yang memberikan inspirasi kepada BOH. Katanya, BOH kini berdiri pada permulaan dekad baharu untuk BCAA sambil berusaha menyemarakkan inspirasi untuk masa depan.

“Anugerah ini melatih pandangan kita untuk memacu kecemerlangan dan kemampanan industri seni persembahan pada tahun-tahun akan datang. Sebagai jenama, kami sentiasa percaya dalam memupuk hari esok yang lebih baik. Kami terus berharap dapat menjalankan peranan sebagai penaja utama untuk mengekalkan semarak api semangat bagi seni persembahan,” ujar Jason lagi.

Sementara itu, Puan Low Ngai Yuen, Presiden Kakiseni yang turut hadir, menegaskan selama dua dekad, BCCA telah mendokumentasikan dan meraikan seni persembahan di Malaysia.

Low Ngai Yuen, Presiden Kakiseni memperkatakan sesuatu semasa majlis pengumuman calon 20BCAA.

“Tetapi, apakah erti legasi jika tidak terus memberi inspirasi dan membentuk masa depan? Kami sering memikirkan pemeliharaan dari sudut melihat ke belakang, dan masa hadapan, iaitu memastikan seni yang kami cipta hari ini kekal relevan, bergema dan hidup untuk generasi akan datang,” tambah beliau.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa bagaimana kita memastikan dialog budaya yang kaya ini tidak luntur.

Perkara ini bukan hanya tentang soal anugerah, tetapi juga mengenali kepentingan suara-suara, pergerakan, dan bunyi-bunyi,” ujar beliau sambil menegaskan jika kita tidak bertindak sekarang, mungkin suatu hari nanti kita akan menyesal kehilangan peluang untuk menjaga ekspresi artistik yang mendefinisikan kita.

Pada tahun ini, tambahnya, “kita mesti secara aktif memupuk sentuhan fizikal dalam seni, iaitu di luar pendidikan, di luar penghargaan, dan ke dalam penglibatan sebenar. Ini soal membolehkan khalayak menikmati seni, menjadi sebahagian daripadanya, dan menjalaninya. Kesedaran mesti dipupuk sekarang,” tegas Low, dan turut menjemput semua orang menjadi sebahagian daripada gerakan ini.

Tema 20BCAA ialah “20 Tahun Legasi: Menyalakan Inspirasi untuk Esok”, yang memberikan penghormatan kepada penerima anugerah lalu, dan sumbangan mereka kepada industri seni persembahan Malaysia.

Disebabkan legasi mereka terus menyumbang inspirasi kepada generasi artis seterusnya, Kakiseni dan BOH masing-masing sebagai penganjur dan penaja BCAA, mencabar sempadan kreatif dan menggalakkan inovasi artistik yang lebih besar untuk masa depan seni persembahan di Malaysia.

“Selain itu, kami merangkul legasi warisan dalam memberi inspirasi kepada yang luar biasa setiap hari. Dari tarian kepada teater, dan dari muzik kepada muzikal, kami meraikan warna seni persembahan yang pelbagai, dan bersemangat serta perjalanan kreatif yang akan datang,” ujar Low lagi.

Dengan gabungan peranan BOH dan Kakiseni, 20BCAA kekal berdedikasi memperjuangkan kepelbagaian kreativiti, dan memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap seni persembahan di Malaysia.

Pada tahun ini, 20BCAA merangkumi 77 penyertaan merentasi 38 kategori anugerah, meliputi tarian (9 subkategori), muzik (8 subkategori), teater muzikal (12 subkategori), dan teater (9 subkategori).

Low Ngai Yuen (depan dua dari kiri), dan  Jason Foo (belakang enam dari kanan) bersama-sama calon-calon kategori Tarian.

Barisan panel yang terdiri daripada individu profesional, serta pakar terkemuka persada seni persembahan Malaysia telah menilai dengan teliti penyertaan dalam 20BCAA ini, mengiktiraf kecemerlangan merentasi bidang persembahan, teknikal dan kreatif.

Anugerah Terbaik dan Kategori termasuk Pelakon/Pelakon Terbaik dalam Peranan Utama, Kostum Terbaik, Penggayaan dan Solekan, Nilai Produksi  dan banyak lagi. Sebanyak 41 produksi telah dicalonkan: 12 dalam tarian, tujuh dalam teater muzikal, 10 dalam muzik, dan 12 dalam teater.

Selain itu, untuk sambutan ulang tahun ke-20 ini, penganjur turut melancarkan inisiatif baharu bagi mempromosikan apresiasi seni. Jelajah Universiti BCAA akan membawa sisi kreatif ke universiti terpilih di seluruh Malaysia dengan pelibatan pelajar.

Sesi Perkongsian dengan calon-calon 20BCAA pula turut menumpukan kepada  perbincangan, dan pameran interaktif di lokasi-lokasi  utama di Lembah Kelang.

BCAA yang lebih dikenali sebagai Cammies, dengan bangganya disokong oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Selain BOH Plantations sebagai penaja utama, rakan kongsi utama ternasuklah Yayasan Sime Darby, Taylor’s University, A Cut Above, Sephora, dan Capri Communications.

Antara nama popular yang turut tercalon adalah Shahrul Mizad untuk kategori Pengarah Terbaik bagi Teater Muzikal Sakti Merong Mahawangsa, dan Khairunazwan Rodzy (Teater Muzikal Sudimania); Fimie Don, Pelakon Utama Terbaik, Teater Muzikal Sudirmania); Dr. Norzizi Zulkifli dan Syahrul Musa, Pengarah Terbaik (masing-masing bagi Randai Macbeth dan Teater Persiapan seorang Aktor); Che Kem dan Aloy Paradoks, Pelakon Terbaik (masing-masing Randai Macbeth dan Teater Persiapan Seorang Aktor); dan Juhara Ayob, Pelakon Pembantu Terbaik (Randai Macbeth). Randai Macbeth dan Persiapan Seorang Aktor pula antara calon bagi Pencalonan Terbaik.

Untuk senarai lengkap nominasi 20BCAA, layari www.kakiseni.org/awards, dan ikuti media sosial @kakiseni. Majlis Anugerah 20BCAA dijadualkan berlangsung pada 4 Mei 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi