Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pementasan teater Pelanduk Terakhir yang bakal berlangsung dari 25 hingga 27 April 2025 di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan sekadar mengangkat warisan dan kesusasteraan rakyat Melayu dari negeri Pahang, malah sebagai sebuah usaha berterusan dalam memenuhi keperluan tradisi keilmuan serta menghargai folklor Melayu melalui medium persembahan pentas.
Demikian menurut Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Pahang merangkap penasihat pementasan teater, Yang Hormat (YH) Dato’ Sri Shahaniza Haji Shamsuddin dalam Majlis Sidang Media Teater Pelanduk Terakhir yang diadakan di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP pada petang semalam.
Menurut Dato’ Sri Shahaniza Haji Shamsuddin, teater ini akan menampilkan Tarian Pelanduk yang berasal dari Kampung Bukit Betong, Kuala Lipis, Pahang sejak pemerintahan Jepun lagi.
Kata beliau,
Tarian ini lahir daripada gerakan memburu pelanduk yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bentuk seni sebagai simbol kelicikan, kebijaksanaan dan daya tahan masyarakat Melayu dalam menghadapi cabaran.
Tambah beliau lagi, tarian ini juga banyak dipersembahkan dalam majlis adat dan keramaian sebagai tanda penghormatan kepada pemimpin dan golongan bangsawan sebelum berkembang sebagai satu daripada warisan budaya yang jarang-jarang dipertontonkan oleh masyarakat.
Pementasan teater yang julung-julung kali dianjurkan oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) itu mendapat sokongan penuh daripada DBP, Tourism Pahang dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Sebagai bukti kejayaan usaha ini, YH Dato’ Sri Shahaniza Haji Shamsudin menyatakan bahawa pementasan teater Pelanduk Terakhir merupakan pencapaian besar bagi DPMP yang mencerminkan dedikasi organisasi berkenaan dalam memperkukuh warisan seni dan budaya negeri Pahang.
Ujar beliau,
Kami juga yakin bahawa inisiatif ini dapat menjadi pemangkin kepada usaha pemeliharaan dan pemerkasaaan seni budaya pada masa hadapan.
Di samping itu, beliau menjelaskan bahawa teater Pelanduk Terakhir juga merupakan platform pendidikan yang berperanan mendidik masyarakat mengenai kekayaan seni warisan negara.
Selain memperkenalkan warisan negeri Pahang, teater ini juga menjadi wadah untuk generasi muda lebih memahami, menghargai dan menyayangi budaya tradisonal negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang menunjukkan komitmen yang tinggi dalam usaha memartabatkan industri seni teater dengan menggalakkan penyertaan penggiat seni tempatan dalam festival antarabangsa seperti Edinburgh Festival Fringe dan Singapore International Festival of Arts.
“Tourism Pahang juga memainkan peranan utama dalam memperkenalkan teater sejarah sebagai daya tarikan pelancongan domestik dan antarabangsa selaras dengan Blueprint Pahang Destinasi Warisan Dunia (2024-2028) yang bertujuan untuk menghidupkan kembali lokasi bersejarah di Pahang sebagai destinasi pelancongan lestari yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” jelas beliau lagi.
Beliau turut berharap agar pihak kerajaan akan terus memberikan sokongan yang padu terhadap industri teater tempatan dengan memperkukuh ekosistem kreatif melalui latithan teknikal, penulisan skrip, pengarahan serta seni persembahan bagi melahirkan lebih banyak tenaga kreatif profesional di Malaysia, sekali gus memastikan seni persembahan teater terus berkembang dan bersaing pada peringkat antarabangsa.