Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 16 Mac 2025, 17:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur- Pementasan teater Pelanduk Terakhir berpotensi menjadi langkah strategik dalam menjadikan teater sebagai produk pelancongan budaya yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

“Usaha ini mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Pahang yang komited dalam mempromosikan teater tempatan ke pentas dunia,” kata Yang Hormat (YH) Dato’ Sri Shahaniza Haji Shamsuddin dalam Majlis Sidang Media Teater Pelanduk Terakhir di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, semalam.

Menurut YH Dato’ Sri Shahaniza Haji Shamsuddin, berkata teater ini bukan sekadar menjadi hiburan, malah menjadi platform yang mampu menarik pelancong dengan memaparkan kesenian, warisan dan tradisi unik negeri Pahang.

Seni pementasan teater seperti Pelanduk Terakhir mampu menjadi tarikan utama bagi pelancong tempatan dan antarabangsa kerana mengangkat seni Tarian Pelanduk dan kisah warisan yang memiliki nilai sejarah serta budaya yang tinggi.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri Pahang akan terus menyokong industri teater dengan mempromosikan teater Pahang ke persada antarabangsa.

“Antara langkah yang diambil adalah menggalakkan penyertaan dalam festival seni berprestij seperti Edinburgh Festival Fringe dan Singapore International Festival of Arts,” jelas beliau lagi.

Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Pahang (BAHARU), YH Dato’ Sri Shahaniza Haji Shamsuddin menyampaikan kata-kata aluan majlis di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, semalam

Sementara itu, Presiden Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), YBrs. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Haji Mansor Abdullah turut menyokong inisiatif ini dengan menekankan kepentingan pementasan teater dalam mengekalkan identiti budaya Malaysia pada peringkat global.

Jelas beliau,

Pementasan teater ini akan meningkatkan kesedaran generasi muda tentang gerak tari yang semakin dilupakan, sekali gus boleh menjadi daya tarikan kepada pelancong asing yang ingin mengenali warisan seni Malaysia dengan lebih mendalam.

Presiden DPMP, YBrs. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Haji Mansor Abdullah ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Sidang Media Teater Pelanduk Terakhir, semalam.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa bagi memastikan perkembangan industri ini, DPMP dan kerajaan negeri juga akan menyediakan ruang kerjasama, platform dan dana bagi penggiat seni teater untuk terus berkarya serta menjadikan teater sebagai sebahagian daripada produk pelancongan budaya yang mampan.

Dalam majlis yang sama, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunus yang mewakili Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyatakan bahawa DBP memainkan peranan utama dalam mempromosikan teater sebagai sebahagian daripada perkembangan bahasa dan persuratan Melayu.

Menurut beliau,

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta kepada DBP bagi mempergiatkan aktiviti bahasa dan kesusasteraan, termasuklah pementasan teater serta selaras dengan penekanan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa teater mempunyai keupayaan untuk menjadi elemen penting dalam pemuliharaan budaya dan pengukuhan ekonomi kreatif negara.

Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan yang mewakili Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Puan Roziah Md Yunus ketika menyampaikan kata-kata aluan dalam Majlis Sidang Media Teater Pelanduk Terakhir.

Jelasnya lagi, teater berperanan bukan sahaja sebagai persembahan biasa, malah menjadi manifestasi kreativiti dan imaginasi masyarakat yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam menarik perhatian pelancong melalui keunikan seni persembahan yang ditampilkan.

Bagi melengkapkan keindahan acara, majlis ini turut diserikan dengan persembahan dendangan syair yang dipersembahkan oleh penggiat seni warisan tanah air, Roslan Madun.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry; Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim; Pengerusi dan Ahli Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, (FINAS), Encik Zed Zaidi; rakan media; pelakon; ahli produksi pementasan teater; dan penggiat seni negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi