Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Iftar@KL anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang berlangsung selama empat hari, iaitu pada 15, 16, 22 dan 23 Mac 2025 di Jalan Raja, Dataran Merdeka Kuala Lumpur menyemarakkan kebudayaan dan kesenian Islam kepada pelancong tempatan dan antarabangsa menerusi Program Pelancongan Budaya.
Menurut JKKN, objektif utama program ini adalah untuk mengimarahkan dan memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan selain merapatkan dan mengeratkan silaturahim serta toleransi antara kaum.
“Program ini dapat menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat melalui aktiviti gotong-royong dan sukarelawan budaya yang terdiri daripada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan,” katanya dalam satu kenyataan.

JKKN berkata, Iftar@KL tahun ini merupakan penganjuran kali ke -13 oleh JKKN sejak pelaksanaannya bermula tahun 2012.
Tambahnya, selain dapat berbuka di atas jalan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, terdapat juga Program Jom Exchange al-Quran yang merupakan program kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), iaitu pemulangan al-Quran yang tidak mendapat kelulusan daripada pihak KDN dan digantikan dengan al-Quran yang telah diluluskan oleh KDN.
“Iftar@KL 2025 turut dimeriahkan lagi dengan pelbagai pengisian menarik seperti penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, solat berjemaah, tadarus al-Quran, tazkirah Ramadan, Bicara Ramadan, Sukarelawan Skuad Budaya, kaunter zakat fitrah dan jualan makanan,” katanya.

Sementara itu, Yang Berhormat (YB) Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Iftar@KL ketika merasmikan program tersebut berkata, program yang dilaksanakan oleh JKKN ini merupakan salah satu pendekatan yang positif untuk memupuk nilai murni dan jati diri kepada masyarakat bandar, khususnya generasi muda seperti melalui aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk, program sukarelawan dan agihan bubur lambuk kepada golongan asnaf dan gelandangan.
Tambah beliau, penganjuran program sebegini juga merupakan tanggungjawab sosial kementerian ini ke arah mencerminkan kerajaan MADANI demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Menurut JKKN, Iftar@KL merupakan anjuran bersama dengan rakan strategik, iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kelab Warisan Seni Samudera.
Selain itu, katanya, antara rakan penganjur Iftar@KL pada tahun ini termasuklah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Kuala Lumpur Food Truck Entrepreneurs Association, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM), KDN, Tourism Malaysia, Peniagawati dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Tambahnya, pada tahun ini, Iftar@KL mendapat sokongan daripada syarikat korporat, iaitu Pusat Pungutan Zakat, AGRO Bank, Felda Global Ventures (FGV), Suria FM, Nu Ideaktiv Sdn. Bhd, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan penajaan daripada syarikat terkenal, iaitu Syarikat Minuman F&N dan Vida, ADABI dan Boh Plantation Sdn. Bhd.