Diterbitkan pada 23 Mac 2025, 22:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 20 orang anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Al Haq Malaysia, Kampung Datuk Keramat telah diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Hari Raya, berserta Pelancaran Filem Pendek Raya SAJI 2025 pada 21 Mac 2025 bertempat di Pacific Ballroom, Hotel Seri Pacific, di sini.

Menurut YBrs. Encik Shammim Azad Kamruzaman, Pegawai Bertanggungjawab untuk Bahagian Produk Pengguna merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products Sdn. Bhd., sumbangan berkenaan bertujuan untuk memberikan kegembiraan dan menceriakan sambutan Aidilfitri bagi golongan yang memerlukan, termasuklah anak-anak yatim.

“Usaha berkongsi rezeki daripada pihak SAJI ini juga merupakan sebahagian daripada Program SAJI Seikhlas Hati, yang bukan sekadar usaha bermusim, tetapi inisiatif berterusan yang mencerminkan komitmen SAJI dalam berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Encik Shammim Azad Kamruzaman, Pegawai Bertanggungjawab untuk Bahagian Produk Pengguna merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products Sdn. Bhd. ketika menyampaikan ucapan.

Pada majlis tersebut, anak yatim yang diraikan menerima sumbangan Aidilfitri bernilai RM300, serta hamper produk SAJI dan SERI PELANGI bernilai RM50 setiap seorang.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2000, SAJI telah menjadi lebih daripada keperluan di dapur, bahkan merupakan sebahagian daripada rumah, simbol tradisi dan bahan masakan yang dipercayai.

Hasil sokongan padu pengguna, jenama SAJI kini menerajui pasaran minyak masak tempatan dengan kekal sebagai pilihan minyak masak nombor satu di Malaysia.

Sebagai jenama yang dekat di hati rakyat Malaysia, SAJI meneruskan komitmen kepada masyarakat menerusi program tanggungjawab sosial korporat atau CSR SAJI Seikhlas Hati, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia.

Sejak tahun 2023, program ini telah memberikan manfaat kepada hampir 3000 orang asnaf di seluruh negara.

Gimik perasmian Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Hari Raya kepada Anak Yatim, berserta Pelancaran Filem Pendek Raya SAJI 2025 oleh YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, dan YBhg. Tan Sri Rastam Mohd. Isa (empat dan lima dari kanan).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Encik Razmi Rahmat, Pemangku Pengurus Besar, Hotel Seri Pacific; YBrs. Cik Sry Haryanti Mohd. Nor, Pemangku Pengurus Besar, Seri Pacific Corporation; YBhg. Tan Sri Rastam Mohd. Isa, Pengerusi FGV Holdings Berhad (FGV); YBhg Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman, Pengarah Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA); YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA; dan YBrs. Encik Fahrunniam Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV.

Majlis tersebut juga diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 FGV menerusi jenama SAJI, sebagai Teman Kulinari Rakyat Malaysia yang disempurnakan oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

Kempen ini bukan sahaja menekankan kelazatan hidangan Aidilfitri, malah emosi dan kenangan yang mengiringi suasana perayaan sama ada suka ataupun duka, segalanya ialah “rasa” yang wajar dihargai dan diraikan.

Sementara itu, filem pendek Raya SAJI 2025 berjudul Nas Si Goreng mengisahkan perjalanan Anas, lakonan Fadhli Masoot, seorang pemuda yang membesar melihat ibunya (Liza Abdullah), memasak dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang.

Filem yang turut dibintangi Nabila Huda sebagai Anisa itu mengangkat tema kenangan, kasih sayang dan penyembuhan, seiring dengan semangat “SAJI Rayakan Rasa”, bahawa setiap rasa, sama ada di lidah ataupun di hati, membawa makna yang menyatukan dan mencipta kenangan Aidilfitri yang abadi.

Kredit Foto: Kredit Hanif Ariffin dan Raja Yusoff Raja Ariffin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi