Diterbitkan pada 24 Mac 2025, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Music Rights Sabah Berhad (MRS) dan Music Rights Sarawak Berhad (MRSB) bersetuju dengan Garis Panduan Hak Cipta Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) 2025, namun meminta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mempertimbangkan cadangan agar keahlian tidak dihadkan kepada satu CMO sahaja, yakni keahlian berdasarkan karya dan bukannya individu.

Dalam kenyataan bersamanya, MRS dan MRSB berkata, secara dasarnya, kedua-dua pertubuhan itu bersetuju dengan Garis Panduan Hak Cipta CMO itu kerana diyakini akan dapat mewujudkan sistem pengurusan dan pentadbiran CMO yang lebih cekap, telus dan berakauntabiliti.

“Ini adalah selaras dengan seruan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri yang sangat menitikberatkan tatakelola pengurusan yang baik. Dalam pada itu juga, MRS dan MRSB berharap pihak MyIPO sedia untuk mempertimbangkan beberapa cadangan yang kami kemukakan.

“Ahli MRS dan MRSB di Sabah dan Sarawak telah memberi mandat kepada kami atas faktor kepercayaan kepada kredibiliti kami selaku CMO yang memiliki sistem pengurusan hak cipta yang telus dan berakauntabiliti,” kata kenyataan itu.

Selain itu, sebaiknya kewujudan MRS dan MRSB harus dilihat sebagai sesuatu yang sihat dan bersifat demokrasi, yakni pencipta dan pengkarya boleh membuat pilihan untuk mendaftar karya mereka bagi memastikan industri hak cipta tidak akan dimonopoli oleh pihak tertentu sahaja.

Kenyataan bersama itu menambah bahawa banyak negara juga turut menetapkan garis panduan dan peraturan CMO bagi memastikan pengurusan hak cipta dan hak berkaitan yang lebih berkesan dan telus.

“Ini termasuklah Garis Panduan Antarabangsa yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO), dan negara-negara seperti Myanmar serta Kesatuan Eropah turut sama mengeluarkan garis panduan berkaitan hak cipta di negara masing-masing.

“Kami sangat yakin dan percaya bahawa akan ada banyak lagi inisiatif yang baik daripada pihak MyIPO, sepertimana Garis Panduan Hak Cipta CMO ini yang dibuat bagi menggalakkan ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan dalam pengurusan hak cipta di Malaysia,” kata kenyataan tersebut.

MyIPO pada 17 Januari lalu telah menerbitkan Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025 dalam usaha memperkukuh ekosistem hak cipta di Malaysia.

Menurut garis panduan itu, langkah itu dilihat sebagai satu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan ketelusan dan keberkesanan CMO yang bertanggungjawab mengutip dan mengagihkan royalti kepada pemegang hak cipta.

Namun, pelaksanaan garis panduan itu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan industri muzik, termasuk badan-badan CMO seperti Music Authors’ Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi