Diterbitkan pada 9 April 2025, 08:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri,Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan pelancaran buku Ismail Zain Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics (IZISWoAaA) di Balai Seni Negara (BSN), semalam.

Dalam ucapan beliau, Dato’ Seri Anwar menegaskan pemuliharaan hasil karya seni visual dan penulisan berhubung karya Ismail perlu dihargai sebagai satu daripada sebuah karya agung untuk dipelihara dari generasi ke generasi, agar terus ditelaah dan dimanfaatkan oleh masyarakat.

Buku yang dikumpulkan ini merupakan hasil kerjasama antara BSN dengan FERGANA Art menghimpunkan 33 buah teks tulisan Ismail yang dihasilkan sepanjang 17 tahun, yakni dari tahun 1972 hingga tahun 1989.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan beliau menyempurnakan pelancaran buku Ismail Zain Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics pada 8 April 2025.

Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut mengadakan lawatan ke Pusat Repositori Konservasi Seni Negara, atau Art Hospital, yang ditubuhkan pada tahun 2019. Sebagai yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, pusat ini berperanan untuk mengurus, memelihara dan memulihara Koleksi Seni Visual Negara agar terus dapat dihayati oleh generasi kini, dan akan datang.

Terdahulu IZISWoAaA yang disunting oleh T.K. Sabapathy, Eddin Khoo, Jaafar Ismail, Beverly Yong, dan Rahel Joseph, dengan terjemahan utama oleh Pauline Fan ini menghimpunkan karya terbesar Ismail dalam satu jilid, dengan tulisan utama dalam bahasa Melayu, dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Sebagai seorang seniman, kurator, pendidik dan pemikir seni, beliau merupakan figura berpengaruh dalam landskap seni Malaysia. Sumbangannya bukan sahaja dalam bidang seni, malah dalam pembangunan institusi awam seperti BSN, dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), yang terus memainkan peranan penting dalam ekosistem seni negara.

Lebih daripada sekadar himpunan penulisan, IZISWoAaA menggambarkan bagaimana pemikiran Ismail membentuk pemahaman terhadap perkembangan seni moden, dan kontemporari.

IZISWoAaA turut mengupas soal peranan penulisan dalam dunia seni, serta bagaimana ideanya boleh dibandingkan dengan wacana seni oleh pemikir lain.

Penerbitan buku ini diharap dapat menjadi sumber rujukan bagi penggiat seni, ahli akademik, dan masyarakat umum dalam memahami peranan kritikan seni dalam perkembangan seni visual. Orang ramai boleh mendapatkannya di Kedai Galeri, BSN.

Turut hadir YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri MOTAC; YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC; YBrs. Tuan Shaik Rizal Sulaiman, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN); YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah LPSVN; serta YBrs. Kamaliah Ismail Marzuki, anak kepada Allahyarham Ismail. Pegawai-pegawai kanan MOTAC, serta wakil-wakil dari jabatan dan agensi juga hadir.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima karya Ikan Baung daripada YBrs. Puan Kamaliah Ismail, anak kepada Allahyarham Ismail (empat dari kiri) bersama-sama waris, dan tetamu jemputan lain, serta YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (paling kiri).

Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi BSN atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi