Diterbitkan pada 15 April 2025, 16:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Walaupun hampir berusia 68 tahun dan tidak mendendangkan Raya Sedondon (nyanyian asal Sepahtu) dan Kepadamu Kekasih (Kembara) seperti yang dijadualkan, persembahan Dato’ M. Nasir dalam konsert Dato’ M.N46ir: Cipta Raya di Zepp Kuala Lumpur pada 13 April lalu tetap menggegarkan.

Berdasarkan pengalaman menonton sejak sekian lama, saya dapati gaya Dato’ M. Nasir ketika menyanyi dalam konsert solonya dan Kembara kekal tidak berubah, malah telah menjadi identiti persembahan beliau.

Namun begitu, para peminat setianya masih boleh menari gembira ketika lagu-lagu rancak (joget, rock, reggae, funky dan sebagainya) didendangkan dan meliuk syahdu semasa lagu-lagu sentimental (balada, Asli, Nusantara dan sebagainya) dialunkan.

Hakikat tersebut jelas terlihat dalam konsert yang dibawakan oleh ICON Entertainment (ICON) itu, ketika beliau mendendangkan Raya yang Sempurna (Dato’ Awie), Selamat Hari Raya (Puan Sri Saloma), Esok Hari Raya (Dr. Sam and Musafir), Suara Takbir (Tan Sri P. Ramlee), Hari Raya Hari Bahagia (Ideal Sisters), serta Satu Hari di Hari Raya, Salam Dunia, Suatu Masa, Hati Emas, Apokalips, Ada, Raikan Cinta, Sahabat Gua, dan Phoenix Bangkit dari Abu (antara lagu popular beliau dan Kembara).

Melodi Raya yang Sempurna, Hari Raya Hari Bahagia, Satu Hari di Hari Raya, Salam Dunia, Suatu Masa, Hati Emas, Apokalips, Ada, Raikan Cinta, Sahabat Gua, dan Phoenix Bangkit dari Abu adalah ciptaan M. Nasir sendiri.

Melodi lagu Raya lain ciptaan beliau yang dinyanyikan oleh pelbagai penyanyi, sama ada popular atau tidak untuk konsert berkenaan termasuklah Selamat Hari Raya (Al-Jawaher), Halaman Asmara (Awie dan Ziana Zain), Lebaran Bonda (Dato’ Hattan), dan Sentuhan di Hari Raya (Amy Search).

Nasir turut menyanyikan lagu Raya popular lain bukan ciptaan beliau, iaitu Selamat Hari Lebaran (Oslan Husein).

Sepatutnya, selepas konsert Dato’ M.N45ir: Cipta 2 di Axiata Arena pada 12 Oktober 2024 akan diadakan pula konsert Dato’ M.N46ir: Cipta 3 mungkin pada tahun ini.

Walau bagaimanapun, ekoran Nasir menyanyikan Satu Hari di Hari Raya pada penghujung konsert berkenaan, dan beliau banyak mencipta lagu Raya, maka Sdr. Iman Tang, Pengasas ICON tertarik untuk mengadakan konsert lagu Raya yang kemudian diberi nama Dato’ M.N46ir: Cipta Raya.

Dengan berlangsungnya Dato’ M.N46ir: Cipta Raya, maka terciptalah satu rekod baharu, iaitu konsert pertama yang menampilkan lagu-lagu Raya nyanyian seorang penyanyi sahaja.

Nasir sendiri menyebut semasa konsertnya itu memang bagus kalau ada konsert lagu Raya pada setiap Syawal, yang disambut sorakan, dan tepukan para penonton.

Jika dalam Dato’ M.N45ir: Cipta 2, Nasir membuat kejutan dengan nyanyian Satu Hari di Hari Raya, dan menggugurkan wang kertas RM1 di dalam 10 000 keping sampul dari bumbung Axiata Arena sebagai duit Raya kepada penonton, semasa Dato’ M.N46ir: Cipta Raya, beliau menarik perhatian apabila memanggil salah seorang penonton wanita ke pentas untuk berduet lagu Halaman Asmara.

Mengenai duit Raya, pemberian kali ini berbeza, apabila penganjur meletakkan sampul di bawah kerusi setiap penonton. Nasib dan rezeki menentukan adakah mereka memperoleh wang kertas RM1, RM5, RM10 atau RM50.

Wakil-wakil media yang menonton sambil berdiri di sepanjang kira-kira 1 jam 45 minit durasi konsert berkenaan menerima RM5 setiap seorang, daripada para petugas yang datang menghulurkan sampul.

Meskipun menyedari penyanyi popular tanah air, Alif Satar turut menonton, tetapi Nasir menjemput penonton yang dikenali sebagai Putery Nurshafika berusia 30 tahun untuk berduet dengan beliau.

Dato’ M. Nasir menarik perhatian penonton apabila menjemput seorang penonton wanita berduet dengan beliau untuk lagu Halaman Asmara.

Sungguhpun pada permulaan, Putri gugup dan sukar menyanyi, tetapi beberapa minit kemudian, dia memukau penonton dengan nyanyian mantap mirip vokal Ziana.

Justeru, tercipta satu lagi rekod, iaitu Nasir tampil menjayakan siri konsert Ciptanya dengan penyanyi lain. Untuk dua buah konsert sebelumnya, beliau hanya menyanyi seorang. Dengan demikian, konsert solo beliau itu terus mencatat rekod demi rekod.

Dato’ M. Nasir bersama-sama para pemuzik yang mengiringi beliau yang diketuai Aznan Haji Alias (lapan dari kiri), dan penyanyi latar.

Meskipun lagu-lagu Raya, tetapi tidak semuanya ciptaan Nasir sendiri yang didendangkan. Turut menyanyikan beberapa buah lagu popular ciptaan sendiri nyanyiannya, dan penyanyi lain boleh dianggap sebagai kelainan, dan memenuhi cita rasa penonton/peminat yang pelbagai.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi