Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – Budaya membaca wajar dijadikan satu amalan dalam kalangan rakyat Malaysia. Oleh itu, sebanyak RM1 juta Baucar Buku Semarak Membaca telah diperuntukkan pada tahun ini dalam usaha membantu rakyat membeli bahan bacaan.
Jelas Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang ketika merasmikan Program Jom Membaca 10 Minit 2025 dan Baucar Buku Semarak Membaca 2025 Peringkat Kebangsaan sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang berlangsung selama dua hari di Central Square, semalam.
Beliau menyatakan bahawa pemberian baucar tersebut merupakan satu langkah berterusan bagi menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat negara ini, sekali gus turut merancakkan lagi Industri perbukuan negara.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun sebagai tanda sokongan kepada budaya membaca, penerbitan dan hak cipta tempatan.
‘”Melalui program seperti ini, dapat menyemarakkan kembali amalan membaca, sejajar dengan hasrat kerajaan MADANI untuk mewujudkan masyarakat berpengetahuan.”
Tambahnya, pada tahun lepas, melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), telah dilaksanakan sebanyak 48 686 program galakan membaca seperti Program Kembara Ilmu, Program Jom Membaca, Karnival Baca Perdana dan Program Pembudayaan Tulisan Jawi.
Beliau juga berterima kasih kepada Shopee kerana menjadi rakan e-dagang rasmi bagi menjayakan program baucar buku itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah PNM Malaysia, YBrs Encik Edy Irwan Zulkafli berkata, program sebegini akan diadakan setiap tahun, sekali gus dapat membangunkan modal insan yang cemerlang.
“Mengikut statistik yang diperoleh oleh PNM pada tahun 2024, seramai 9.73 juta peserta merangkumi pelbagai lapisan masyarakat telah menyertai program tersebut manakala pada tahun 2025 pula, PNM menyasarkan seramai 10 juta orang peserta menyertainya.” Jelas beliau sebelum mengakhiri ucapan.
Dalam program tersebut, turut hadir ialah Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg Datuk Haji Rubi Haji Ubi Dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, YBrs Encik Shahizan Affandi Zakaria.
