Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penyanyi legenda, iaitu Datuk Nash akan menjadi tetamu istimewa majlis baca puisi bulanan; “PEMUISI di DBP 17.0”, esok malam.
Majlis baca puisi bulanan anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini akan bermula pada pukul 8.00 malam di Dewan Dato’ Abdul Rahim Bakar, Menara DBP.
Datuk Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Haji Elias juga vokalis kumpulan Lefthanded akan membuat persembahan nyanyian daripada albumnya yang terdahulu.
Antara lagu beliau yang mendapat sambutan oleh para peminat termasuklah Pada Syurga Di Wajahmu, Di Saat Kau Pergi, Tiada Lagi Kidungmu, Zahir Tak Terucap, Kenangan Bersama dan Kursani.
Menurut Presiden PEMUISI, iaitu Dato’ Dr Radzuan Ibrahim ketika ditemui menyatakan penghargaan terhadap Datuk Nash yang sudi hadir memeriahkan acara.
“Majlis Baca Puisi Bulanan PEMUISI di DBP 17.0 merupakan anjuran PEMUISI dengan kerjasama DBP. Kami telah berjaya menganjurkan majlis ini sebanyak 17 kali, yakni secara bulanan” jelas beliau.
Menyentuh tentang mengapa Datuk Nash diundang sebagai tetamu istimewa pada majlis tersebut, beliau menjelaskan bahawa tokoh-tokoh yang diundang terdiri daripada pelbagai bidang yang bukan dalam kalangan sastera.
“Kebanyakan tokoh-tokoh yang menjadi tetamu istimewa PEMUISI ialah tokoh yang di luar bidang puisi, seperti Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Hakim, ahli korporat, pakar Sains, geologi, agamawan dan penyanyi.
“Tujuan kami untuk memasyarakatkan puisi, supaya tokoh yang diundang didedahkan dengan puisi, sekali gus akan mengembangkan lagi sayap puisi ke dalam bidang yang lain”, katanya.
Tambahnya, Datuk Nash merupakan seorang penyanyi legenda dan lagu-lagunya mendapat sambutan umum serta menjadi siulan masyarakat.

Lantas dengan mengundang Datuk Nash dapat menyeri dan memeriahkan lagi majlis baca puisi.
Selain Datuk Nash, antaranya yang akan hadir memeriahkan program ialah Ahli Dewan Negara juga Penasihat PEMUISI, Yang Berhormat Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan; Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr Zurinah Hassan; YBhg. Dato’ Chamil Wariya; Dato’ Jasni Mat Lani dan Dr. Ferri Anugerah Makmur.
Mereka akan mendeklamasikan bacaan puisi, lagu-lagu puisi, monolog, syair, sketsa, tarian tradisional dan sebagainya.
Oleh itu, PEMUISI mengundang semua pemuisi dan peminat puisi tanah air untuk hadir ke majlis tersebut dan menikmati persembahan puisi.