Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia dan Maldives melangkah setapak lagi dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam sektor pelancongan. Perjanjian ini dimeterai oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bersama Kerajaan Republik Maldives sempena lawatan rasmi Presiden Maldives ke Malaysia.
Majlis pertukaran MoU tersebut berlangsung di Perdana Putra dan disaksikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Maldives, Tuan Yang Terutama (TYT) Dr. Mohamed Muizzu.
Yang Berusaha (Ybrs) Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri MOTAC, mewakili Menteri, YB Dato Sri Tiong King Sing.
MoU ini diharapkan akan menjadi platform kepada pelbagai bentuk kerjasama strategik pelancongan antara kedua-dua negara.
Antara bidang utama yang digariskan seperti promosi bersama destinasi pelancongan, pertukaran kepakaran dan latihan, pembangunan pelancongan mesra Muslim, penggalakan pelancongan acara perniagaan (MICE) dan promosi eko-pelancongan serta inisiatif pelancongan berasaskan komuniti.
Kerjasama ini turut menekankan kepentingan pelancongan mampan dan keterangkuman serta membuka peluang lebih luas kepada penglibatan sektor swasta dalam memacu pertumbuhan industri pelancongan.
Dijangka memberi impak positif kepada ekonomi dan memperkukuh pertukaran budaya antara Malaysia dan Maldives.
Pemeteraian MoU ini menzahirkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk terus berganding bahu dalam memajukan sektor pelancongan serantau. Malaysia optimistik kerjasama ini akan membawa hasil yang menguntungkan dan memberi manfaat nyata kepada rakyat serta industri pelancongan kedua-dua negara.