Diterbitkan pada 6 Mei 2025, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seri Kembangan — Bersempena dengan sambutan edisi ke-20 Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon dan ulang tahun ke-25 Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG), hadiah wang tunai bagi pertandingan berprestij itu ditingkatkan sebagai penghargaan kepada kreativiti dan dedikasi para pereka dan pengeluar batik tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutif PENYAYANG, YBhg. Dato’ Leela Mohd Ali yang mewakili Pengerusinya, YBrs. Puan Nori Abdullah mengumumkan peningkatan hadiah semasa pelancaran pertandingan yang berlangsung di Wisma PENYAYANG pagi tadi.

“Peningkatan nilai hadiah pertandingan ini diharap dapat menarik lebih ramai penyertaan serta mendorong inisiatif baharu yang menumpukan kepada kelestarian dan inovasi,” ujar beliau.

Tambahnya,

Kami percaya pertandingan ini mampu menggalakkan pereka untuk menerapkan teknik moden serta amalan mesra alam dan lestari demi memastikan seni batik kekal relevan dalam dunia yang semakin pantas berubah.

Pertandingan tahunan ini dianjurkan di bawah inisiatif Pergerakan Batik Malaysia: Ciptaan Untuk Dunia, dan telah melahirkan ramai bakat baharu yang kini menjadi peneraju dalam industri batik tempatan serta antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif PENYAYANG, YBhg. Dato’ Leela Mohd Ali berkata peningkatan nilai hadiah pertandingan ini bertujuan untuk menarik lebih ramai penyertaan dalam mencari bakat-bakat baharu dalam industri pembuatan batik.

Untuk edisi kali ini, jumlah keseluruhan hadiah wang tunai yang ditawarkan sebanyak RM202 500 merangkumi tiga kategori utama, iaitu Fesyen, Kemasan Lembut dan Kraftangan. 

Johan bagi setiap kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30 000. 

Pemenang tempat kedua menerima RM20 000, peningkatan daripada jumlah sebelum ini, iaitu RM10 000, manakala pemenang ketiga pula akan membawa pulang RM10 000, berbanding hanya RM5000 pada edisi terdahulu. 

Selain itu, lima hadiah saguhati turut disediakan bagi setiap kategori, masing-masing bernilai RM1500 berbanding RM1000 sebelum ini. 

“Peningkatan nilai hadiah ini bertujuan untuk menghargai usaha dan bakat para peserta serta memberi galakan yang lebih tinggi kepada penggiat seni batik tanah air,” ujar beliau.

Pertandingan yang dinamakan sempena Allahyarham YABhg. Tun Endon Mahmood, isteri kepada Perdana Menteri kelima Malaysia, telah menjadi platform penting sejak pelancarannya pada tahun 2003. Allahyarhamah merupakan individu utama yang mempelopori gerakan memperkasa batik sebagai warisan budaya negara.

Ujarnya,

Dua puluh tahun lalu, kami telah memulakan langkah pertama dalam perjalanan untuk mengangkat batik ke persada dunia. Sepanjang tempoh itu, ribuan seniman telah menyertai dan mempamerkan karya-karya yang mencerminkan budaya, tradisi dan kisah peribadi mereka. Inilah yang menjadikan pertandingan ini sangat istimewa, 

Turut hadir di dalam majlis pelancaran ialah Ketua Juri Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa, Timbalan Pengarah Bahagian Rekaan, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, YBrs. Puan Aida Shazlin Shaharom; Pengarah Perniagaan Eden Sdn. Bhd. YBrs. Puan Michelle Ng serta juri Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon, YBrs. Puan Faridah Salehan.

Pendaftaran bagi Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2025 kini dibuka kepada semua pereka dan pengeluar batik yang ingin mengetengahkan karya mereka di pentas yang berprestij ini. 

Semua peserta dikehendaki untuk menghantar karya mereka selewat-lewatnya pada 30 Jun 2025 (Isnin). Pengumuman untuk peserta yang berjaya mara ke pusingan seterusnya akan diumumkan pada 4 Julai 2025 (Jumaat). Pusingan akhir akan berlangsung pada 28 September 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi