Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Juara kategori Kraf tangan edisi ke-19 Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2024, Puan Nazira Radzali, yang juga Pegawai Penjara Wanita Kajang dan tenaga pengajar bengkel batik penjara tersebut, menyatakan hasrat untuk menyertai pertandingan edisi 2025 bagi mencabar keupayaan diri ke peringkat lebih tinggi.
Puan Nazira yang memenangi hati juri dengan karya bertemakan Mata Hati, tampil dengan satu set kraf tangan unik seperti bantal peluk berbentuk ular, beg hobo, dua beg tangan (pau dan kantung), beg peralatan seni, serta penyandar kepala. Kesemua set kraf tangan itu menggunakan motif tulisan Braille dan rekaan yang mesra kanak-kanak cacat penglihatan.
“Karya ini diinspirasikan daripada pengalaman peribadi saya sebagai pesakit diabetes yang berisiko mengalami kerosakan retina. Penglihatan saya semakin kabur, lalu saya memilih untuk menjadikan tulisan Braille sebagai motif utama, menggunakan teknik timbul pada fabrik kapas untuk memberi rangsangan sentuhan sama seperti huruf Braille,” ujar beliau ketika ditemui oleh Dewan Budaya selepas sidang akhbar Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon yang berlangsung di Wisma PENYAYANG pagi tadi.
Karya ikonik beliau, bantal peluk sepanjang dua meter berbentuk ular, dihasilkan daripada bantal kecil pelbagai bentuk seperti sfera, kon, silinder, segi empat dan bintang yang disambung dengan velcro dan boleh ditanggalkan.

Bantal berbentuk ular ini direka khas bagi membantu anak-anak kecil seawal usia dua tahun atau yang mengalami kecacatan penglihatan mempelajari bentuk melalui sentuhan objek lembut.
“Saya guna material yang tahan lasak dan selamat untuk kanak-kanak. Warna pastel pelangi dipilih, manakala kesan retak hitam pada fabrik diinspirasikan daripada kehidupan insan yang kehilangan penglihatan. Teknik retakan ini dibuat menggunakan campuran tepung kastard dan tepung biasa,” jelas beliau lagi.

Dengan pengalaman 16 tahun sebagai tenaga pengajar bengkel batik kepada banduan wanita, Puan Nazira berkata proses menghasilkan karya tidak mengambil masa lama. “Saya ajar banduan setiap hari. Apabila sudah mahir dalam mengajar, proses mereka bentuk, pemilihan warna dan corak akan datang dengan lebih cepat dan tepat,” ujar beliau.
Tambah beliau, kejayaan pada tahun lalu menjadi titik tolak untuk terus berkarya dan memberi inspirasi kepada masyarakat. “Saya belajar semuanya di penjara, dari kosong hingga mampu jadi juara.”